Jubli Emas: LKTN mendepani cabaran, melangkah ke hadapan

Jubli Emas: LKTN mendepani cabaran, melangkah ke hadapan

KENAF menjadi salah satu hasilan terbaru produk komoditi negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) yang menyambut Jubli Emas ke-50 tahun sempena penubuhannya hari ini memaparkan kejayaan dan kecemerlangan agensi berkenaan dalam pembangunan industri kenaf dan tembakau di Malaysia.

SAMBUTAN Jubli Emas memaparkan kejayaan dan kecemerlangan LKTN dalam pembangunan industri kenaf dan tembakau di Malaysia.

Ketua Pengarahnya, Idris Mohd. Salleh berkata, ia dipacu ke­gigihan semangat, keteguhan dan iltizam warga LKTN sepanjang tempoh lima dekad dalam merealisasikan visi dan misi membangunkan industri kenaf dan mengawal selia industri tembakau.

Menurutnya, LKTN adalah Ba­dan Berkanun Persekutuan yang pada mulanya mengikut Ak­ta Lembaga Tembakau Negara (Perbadanan) 1973 [Akta 111] di­tubuhkan pada 8 Oktober 1973 de­ngan nama asalnya Lembaga Tembakau Negara (LTN) bertu­juan memperbaiki dan menja­lankan dengan sepatutnya industri pengeluaran tembakau.

IDRIS MOHD. SALLEH

“Industri tembakau mula di­perkenalkan pada tahun 1959 dan memberi sumbangan yang sangat bermakna kepada penanam serta pengawet tembakau di negeri Ke­lantan, Terengganu, Pahang, Me­laka, Kedah dan Perlis.

“Industri ini dapat menyediakan pendapatan terutamanya kepada penduduk di Pantai Timur yang tinggal di kawasan pantai dan tanahnya berpasir serta kurang sesuai untuk tanaman lain. Jadi tembakau merupakan satu industri yang sangat berjaya di negara ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Idris memberitahu, pelesenan dan sistem kuota yang diagihkan kepada pengawet serta penanam pengawet turut menjadi pe­nyumbang kepada kejayaan industri tembakau.

“Namun, berikutan pelaksa­naan Kawasan Perdagangan Be­bas Asean (AFTA) pada 2010 dan polisi kerajaan yang mengga­lakkan pengurangan pengguna­an tembakau serta pematuhan Rang­ka Kerja Kawalan Temba­kau (FCTC) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kerajaan te­lah mengenal pasti satu sumber pertumbuhan baru untuk diba­ngunkan yang berpotensi menjana pendapatan kepada penanam iaitu tanaman kenaf,” ujarnya.

Idris berkata, Akta Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara 2009 [Akta 692] telah dikuatkuasakan pada 1 April 2010 bertujuan mengadakan peruntukan yang lebih baik bagi industri kenaf dan industri tembakau.

Katanya, Pelaksanaan Akta 692 telah memansuhkan Akta Lembaga Tembakau Negara (Perbadanan) 1973 [Akta 111] dan tertubuhnya Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN).

“Akta 692 juga mengadakan peruntukan yang lebih baik selaras dengan perubahan polisi dunia terhadap ekonomi, kesihatan dan sosial. Di bawah fungsi kawalselia industri tembakau, kerajaan telah meluluskan pe­laksanaan penguatkuasaan Pe­raturan-Peraturan Lembaga Ke­naf dan Tembakau Negara (Pe­lesenan Tembakau dan Keluaran Tembakau) 2011 pada tahun 2022 dengan penguatkuasaannya secara berfasa selama tiga tahun.

“Kenaf atau Hibiscus Cannabinus L adalah sejenis tanaman singkat masa yang diperkenalkan kerajaan. Ia mempunyai potensi yang besar dan berupaya menjadi salah satu tanaman alternatif menggantikan tanaman tembakau,” ujarnya.

PELAKSANAAN penguatkuasaan peraturan-peraturan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara sudah bermula.

Idris berkata, tanaman yang berasal dari Afrika ini bukan sahaja mampu menghasilkan gentian semula jadi yang berkualiti, malah turut dapat menampung beberapa sektor pembuatan lain seperti bahan binaan, biokomposit, panel akustik, produk biodegradasi (pulpa), tilam dan perabot.

Katanya, kenaf juga telah di­ko­mersialkan sebagai produk pen­jagaan kucing dan juga dalam mem­promosikan sebagai sumber makanan haiwan ternakan.

“Produk berasaskan kenaf ini adalah selari dengan dasar kerajaan yang seiring dengan matlamat pembangunan mapan (SDG) dan pentadbiran korporat, sosial dan alam sekitar (ESG). Kele­bihan tanaman yang mencapai tempoh matang dalam masa 120 hari mampu tumbuh dengan cepat dan boleh menjangkau ketinggian antara empat hingga lima meter.

“LKTN juga membangunkan projek pengeluaran biji benih kenaf bagi memenuhi keperluan tanaman dalam negara. Pengeluaran biji benih tempatan ini dapat menjimatkan kos selain kesesuaian tanaman dengan ag­roekologi setempat,” katanya.

Peralihan dari LTN kepada LKTN pada tahun 2010 bukanlah perubahan yang mudah untuk dilalui oleh sesebuah organisasi, tambahan pula kenaf dibangunkan dengan ketiadaan industri yang telah stabil.

Oleh itu, pemilihan slogan 50 tahun LTN/LKTN iaitu ‘Men­depani Cabaran, Melangkah Ke Hadapan’ amat bersesuaian dengan tempoh dan cabaran yang telah dilalui. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya