Jualan arak di Langkawi bawah Kementerian Kewangan

Jualan arak di Langkawi bawah Kementerian Kewangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Penjualan arak di Langkawi terletak di bawah tanggungjawab Kementerian Kewangan dan bukan bidang kuasa kerajaan negeri Kedah susulan dakwaan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing bahawa beliau menerima aduan pelancong mengenai larangan minum arak di pulau pelancongan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan negeri, Datuk Mohd. Salleh Saidin menjelaskan, kerajaan negeri sememangnya mengawal penjualan arak dengan menghadkan hanya di kawasan yang didiami oleh majoriti orang bukan Islam.

MOHD SALLEH SAIDIN

Namun katanya, King Sing sepatutnya tahu keadaan berbeza di Langkawi kerana penjualan minuman beralkohol di pulau pelancongan itu bukanlah di bawah bidang kuasa kerajaan Kedah.

“Sebagai menteri Persekutuan, menteri berkenaan tentunya atau sepatutnya arif mengenai perkara ini. Sesiapa yang pernah ke Langkawi akan bersetuju dengan saya bahawa apa yang menteri bangkitkan adalah jauh daripada kenyataan. 

“Orang-orang bukan Islam berseluar pendek boleh dilihat bergerak bebas, demikian juga hak mereka membeli dan meminum arak, tiada siapa pun menghalang.

“Jika ada pemilik premis tetapkan kod etika seperti tidak boleh berseluar pendek, berselipar, minum alkohol dan sebagainya di premis atau kawasan acara mereka adakan, ia adalah hak mereka yang mungkin dibuat atas pertimbangan-pertimbangan tertentu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khamis lalu, King Sing dalam Facebooknya tetap dengan pendirian mengangkat aduan pelancong dalam dua perkara itu selepas membangkitkan isu terbabit di Parlimen sebelum ini, selain menegaskan beliau tidak mahu bertikam lidah dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dalam hal itu.

Katanya, beliau hanya berniat untuk memperbetul perkara yang silap dan membaiki kelemahan yang ada sebelum ianya menjadi lebih parah.

Mohd. Salleh berkata, King Sing sepatutnya boleh merujuk dengan kerajaan negeri terlebih dahulu sebelum mempertahankan dakwaan beliau menerima aduan daripada pelancong mengenai larangan berseluar pendek dan menjual arak kepada bukan Islam di Pulau Langkawi.

Beliau berkata, kenyataan yang hanya berdasarkan aduan bersifat ‘hearsay’ tanpa sebarang bukti itu boleh memberi implikasi negatif terhadap industri pelancongan negara.

“Tugas utama menteri pelancongan adalah promosi negara dan negeri-negeri serta wilayah-wilayahnya di samping elak buat kenyataan yang boleh menakut-nakutkan pelancong. Jika beliau serius dan ikhlas dalam isu itu, perkara pertama yang patut dilakukan sejak mula adalah berhubung dengan kerajaan negeri.

“Minta penjelasan dan kalau perlu meminta supaya siasatan dibuat sekiranya beliau yakin aduan itu berasas. Bukannya bangkitkan isu tanpa rujuk kita terlebih dahulu. Walaupun ia bukan satu keperluan (merujuk kerajaan negeri), tetapi jika serius dan ikhlas untuk jaga nama baik industri pelancongan negara, ia bukan sesuatu yang sukar dilakukan,” katanya.

Tambah Mohd. Salleh, kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan kehadiran pelancong serta menghormati hak peribadi mereka dan pada masa sama berharap mereka menghormati resam dan budaya setempat sebagaimana menjadi amalan lazim di mana-mana destinasi pelancongan seluruh dunia.

Justeru, Mohd. Salleh turut mempelawa Ahli Parlimen Bintulu itu untuk menjadi tetamunya di Pulau Langkawi bagi memberi peluang kepada King Sing melihat sendiri sejauh mana tidak benar dakwaan pihak yang mengadu kepada beliau.

“Sejak Langkawi diberikan status bebas cukai pada 1987, Malaysia ada 10 orang menteri pelancongan termasuk beliau dan sepanjang tempoh itu inilah kali pertama isu seperti ini dibangkitkan. Ia menimbulkan persoalan, kenapa sekarang dan apakah ada agenda lain di sebaliknya,” soalnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya