PETALING JAYA: Rondaan trafik sepasukan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman berjaya membongkar kegiatan sebuah lori yang dipercayai digunakan dalam kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi di Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) di sini, Rabu lalu.
Pemangku Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Mohd. Nasri Omar berkata, lori itu ditahan kira-kira pukul 10 malam oleh anggota Peronda Lebuh Raya (EMPV) Lebuhraya Shah Alam (Kesas) JSPT Bukit Aman yang sedang menjalankan rondaan dan pemantauan trafik.
“Lori yang dipandu lelaki berusia 26 tahun itu dikesan dalam keadaan mencurigakan di kawasan hentian rehat dan rawat Kinrara.
“Pemeriksaan yang dijalankan menemukan beberapa tong disyaki berisi diesel bersubsidi tanpa kebenaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pemandu warga tempatan itu juga didapati tidak mempunyai lesen memandu jenis D selain Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh.
“Pemandu dan lori dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields untuk proses dokumentasi sebelum diserah kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk tindakan lanjut,” ujarnya. – UTUSAN