JPN Terengganu perkenal alat perakam cap jari  CIJ 1Shot - Utusan Malaysia

JPN Terengganu perkenal alat perakam cap jari  CIJ 1Shot

MOHAMAD Nasir Kareem (lima dari kanan) menyerahkan alat rakaman cap jari CIJ 1Shot kepada pegawai pendaftaran cawangan JPN Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pelbagai masalah yang dihadapi dalam proses pengambilan cap jari pelanggan secara manual sebelum ini mendorong Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Terengganu melakukan inovasi baharu dengan memperkenalkan alat rakaman Cap Ibu Jari 1 Shot (CIJ 1Shot).

Pengarahnya, Mohamad Nasir Kareem berkata, masalah yang biasanya timbul sebelum ini adalah cap jari yang diambil kebanyakannya tidak menepati spesifikasi seperti kotor, tidak jelas, senget dan pelbagai faktor lain.

Menurutnya, walaupun JPN telah melaksanakan rakaman cap jari melalui sistem biometrik, masih terdapat keperluan cap jari di ambil secara manual di lapangan terutama yang melibatkan kes jenayah, kemalangan dan tragedi atau keperluan tertentu di pejabat JPN.

Katanya, proses ini perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin bagi mendapatkan rakaman cap jari yang jelas dan berkualiti kerana cap jari merupakan rekod kekal yang akan menjadi bahan bukti berdokumen bagi tujuan pengecaman individu dan pengenalan diri. 

“Oleh itu, sekumpulan kakitangan JPN Terengganu yang dikenali sebagai Kumpulan KIK Nasz Kreatif telah melakukan inovasi baharu dengan ketepatan padanan cap jari 100 peratus untuk mengatasi masalah tersebut.

“CIJ 1Shot dihasilkan dengan kos RM30.45 sahaja kerana kebanyakan bahan-bahan yang digunakan dalam penghasilan produk ini adalah daripada bahan-bahan kitar semula. 

 “Ia terdiri daripada beberapa bahan iaitu kulit buku, tisu, papan kad dan dakwat cap jari yang digabungkan menjadi satu alat khas untuk memudahkan proses pengambilan cap jari,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Saiz CIJ 1Shot yang kecil sangat praktikal dan mudah dibawa ke mana-mana sahaja dan keberkesanannya telah terbukti ketika JPN Terengganu membantu pihak berkuasa membuat pengesahan identiti jenazah-jenazah yang terlibat tragedi kepala air di Jeram Mawar, Kemaman pada Julai lalu melalui proses padanan cap jari. 

Mohamad Nasir berkata, penggunaan alat itu telah berjaya  menyegerakan pengesahan identiti dan urusan pengebumian jenazah-jenazah yang terlibat.  

“CIJ 1Shot telah membuktikan bahawa inovasi ini mampu memberikan hasil yang maksima kepada pengguna malah berjaya  mengurangkan masa proses operasi berkaitan kesukaran mengambil cap ibu jari daripada lapan minit kepada dua minit sahaja.

“Selain itu, ia juga mengurangkan tenaga manusia daripada empat kakitangan kepada dua kakitangan sahaja untuk urusan pengambilan cap jari yang berkualiti,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN