KUALA TERENGGANU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu berjaya mengutip RM321,040 hasil lelongan awam membabitkan 62 buah kenderaan yang disita di negeri ini, hari ini.
Pengarahnya, Zulkarnain Yassin berkata, jumlah itu dikutip melalui lelongan ke atas 40 buah kereta, 20 buah motosikal dan dua buah lori yang tidak dituntut pemilik masing-masing.
Menurut beliau, semua kenderaan dilelong itu merupakan kenderaan yang telah dilucut hak oleh mahkamah menerusi peruntukan di bawah Seksyen 61 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, seramai 60 pembida hadir pada sesi lelongan awam tersebut dengan sebuah kereta Mitsubishi Lancer yang dilelong pada harga RM26,000 adalah yang tertinggi diraih.
“Harga rizab yang kita buka kepada pembida untuk 62 kenderaan itu adalah RM213,940 dan hasil lelongan yang berjaya dikutip keseluruhan adalah sebanyak RM321,040.
“Mitsubishi Lancer yang dibuka pada bidaan RM1,000 dilelong pada harga RM26,000 manakala harga terendah pula membabitkan sebuah motosikal (RM140) dan motosikal tidak boleh dilesenkan (RM90).
“Daripada 62 buah kenderaan yang dilelong hari ini, 56 buah masih boleh didaftar untuk diguna iaitu 38 buah kereta, 17 buah motosikal dan sebuah lori manakala enam lagi tidak boleh daftar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar Majlis Lelongan Awam Siri 2/2023 dan Peraturan Penggunaan Cermin Gelap di Ibu Pejabat JPJ Terengganu di sini, hari ini.
Dalam perkara berkaitan, Zulkarnain memberitahu, sebanyak 42,149 notis kesalahan berkaitan cermin gelap telah dikeluarkan kepada pemilik kenderaan sejak 2019 sehingga kini.
Menurut beliau, pihaknya memandang serius kesalahan berkenaan sambil menyarankan pemilik kenderaan untuk merujuk kepada JPJ atau membuat pemeriksaan kenderaan bagi mengelak dikenakan tindakan.
“Setiap kesalahan boleh dikenakan kompaun maksimum RM300 namun jika dijelaskan lebih awal, ada potongan antara RM50 sehingga RM200 ditawarkan kepada pemandu.
“Sekiranya gagal dijelaskan dalam tempoh tiga bulan, kes akan dibawa ke mahkamah dengan pesalah boleh didenda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan bagi kesalahan pertama,” tambahnya. – UTUSAN