BAGI peminat nasi kandar, apalah sangat beratur berjam lama, semata-mata bagi menikmati nasi kandar.
Tidak langsung menjadi masalah asalkan hajat menikmati juadah asal Pulau Mutiara itu terlaksana.
Peminat nasi kandar memang ramai. Kalau tidak masakan restoran nasi kandar ‘bersepah’.
Malah kewujudan rider nasi kandar yang sanggup memandu sejauh 350 kilometer dari Pulau Pinang ke ibu kota, dua kali seminggu mengambil tempahan makanan tersebut terus ligat menerima pesanan.
Maka tidak hairanlah apabila baru-baru ini Festival Nasi Kandar 2023 berlangsung selama dua hari di pekarangan pusat belibelah Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur, bagai gula diharung semut.
Di festival yang menghimpunkan 10 jenama nasi kandar popular dari Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur. Antaranya Nasi Kandar Line Clear, Restoran Kudu bin Abdul dan Nasi Kandaq Talam Johor Bahru.
Utusan Malaysia membongkar magis ditawarkan juadah yang berusia 100 tahun sejak abad ke-18 itu.
JOKI MAIN PERANAN
Peranan ‘joki’ atau tukang letak kuah nasi kandar itu sendiri amat penting dalam menghasilkan rasa hidangan yang sempurna.
Itu kongsi pemilik nasi kandar Hameediyah, Ahamed Seeni Pakir Abdul Sukkor.
Kata pewaris generasi keenam jenama nasi kandar itu, ‘joki’ akan menggabungkan antara tujuh hingga 10 jenis kuah dalam satu hidangan membentuk satu gabungan rasa yang enak.
“Campuran itu mesti ada pelbagai rasa seperti kuah kari ikan, ayam dan daging.
“Satu campuran kuah kari akan dituang pada nasi dengan kuantiti yang banyak macam kuah banjir dan memberikan rasa yang unik,” katanya.
Nasi biasanya menggunakan nasi putih atau nasi yang sedikit berperisa, dihidangkan bersama pilihan ayam goreng, limpa kari, daging lembu, telur ikan, udang atau sotong goreng dan sayur-sayuran seperti terung, bendi atau peria.
20 JENIS REMPAH
Menurut Ahmad Seeni, keunikan nasi kandar turut terletak pada penggunaan rempah khas yang digunakan secara turun-temurun.
“Biasanya pemilik restoran nasi kandar tidak menggunakan rempah kari siap yang dijual di pasaran tempatan, sebaliknya diimport dari luar negara seperti Pakistan, Indonesia, Bangladesh, Afghanistan, Turki dan Sepanyol.
“Ada 15 hingga 20 jenis rempah seperti serbuk jintan manis, jintan putih, lada putih, lada hitam dan ketumbar. Ini memang rasa rempah yang asli,” dedahnya.
Seorang peminat nasi kandar, Shahruzzaman Abdul Manan, sanggup meredah perjalanan dari Rawang ke ibu kota membawa tiga anak menyertai festival berkenaan.
Beliau turut mengatur strategi bersama anak-anak semasa hadir ke festival berkenaan bagi menjimatkan masa dan dapat menikmati menu itu dengan lebih seronok.
“Seorang anak beratur membeli nasi kandar, manakala, seorang lagi mencari tempat untuk makan di dalam pusat beli-belah,” katanya.
Ujarnya hunting nasi kandar antara aktiviti tahunan keluarganya. Malah akan mengatur ‘nasi kandar trip’ ke Pulau Pinang sematamata ingin menikmati juadah tersebut.
FESTIVAL PERTAMA
Idea mengadakan festival ini tercetus sejak tiga tahun lalu, semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengasas Nasi Kandar Hunters, Pandai Othman, berkata, penubuhan kumpulan dalam Facebook yang tidak melibatkan sebarang keuntungan itu asalnya bertujuan menggalakkan 250,000 ahlinya berkongsi tentang lokasi dan restoran nasi kandar lantaran tidak boleh rentas negeri.
“Nasi Kandaq Transporters ada perkhidmatan menghantar nasi kandar. “FriedChillies pula mempunyai kemahiran menganjurkan festival makanan. Jadi, akhirnya kami bergabung dan mengadakan festival ini buat julung kalinya,” katanya.
Melihat sambutan menggalakkan dengan hampir 50,000 pinggan nasi kandar terjual dalam tempoh dua hari, Pandai berkata, pihaknya merancang mengadakan Festival Nasi Kandar 2.0. dalam skala lebih besar.
“Kami akan jemput 15 jenama nasi kandar bagi memberikan lebih pilihan kepada pengguna,” katanya.