SHAH ALAM: Bekas isteri pelakon, Hafidz Roshdi, Nurul Shuhada mendakwa rumahnya dikunjungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas dikatakan mengabaikan kebajikan anak-anak mereka.
Menurut Nurul Shuhada atau nama sebenarnya Nurul Shuhada Mat Shukri, dia dimaklumkan oleh pegawai JKM yang mengunjungi rumahnya bagi menjalankan siasatan memberitahu menerima aduan daripada bekas suaminya.
“Pegawai Pelindung Kanak-Kanak cakap, mereka datang kerana dapat aduan daripada pihak sana (Hafidz Roshdi). Anak-anak saya sampai ada rasa trauma dengan kehadiran pegawai ini, dengan mereka ada ambil gambar dalam rumah.
“Jadi, saya hendak tanya dia (Hafidz Roshdi), mengapa perlu buat aduan sampai ke tahap ini,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri prosiding tuntutan hadhanah dekat Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, hari ini.
Jelasnya, dia tidak mempunyai masalah jika Hafidz mahu melawat kedua-dua anak mereka, Humairah, 6, dan Umar, 2, di rumahnya asalkan memaklumkan kepada peguamnya terlebih dahulu.
Malah, dia juga dengan tegas menafikan dakwaan mengabaikan kedua-dua cahaya mata hasil perkahwinan mereka selama tujuh tahun sejak 2016 walaupun sibuk dengan urusan kerja.
“Anak-anak sekarang gembira tinggal dengan saya dan keluarga saya. Jadi, tak ada apa isu pun. Kita sudah gagal dalam perkahwinan tetapi harap dalam soal penjagaan anak-anak, kita tidak gagal,” ujarnya. – UTUSAN