JKM beri kaunseling kepada anak-anak, keluarga jururawat maut ditikam

JKM beri kaunseling kepada anak-anak, keluarga jururawat maut ditikam

ANGGOTA polis melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian suami dipercayai menikam isterinya di sebuah rumah di Kampung Padang Nyu, Arau, Perlis, hari ini. - UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan memberikan khidmat kaunseling kepada dua anak jururawat yang maut ditikam suami di Arau, Perlis kelmarin yang dikhuatiri terkesan dengan tragedi tersebut.

Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu, ahli keluarga jururawat berkenaan akan turut menerima khidmat tersebut daripada pakar kaunselor jabatan itu.

“Kita akan ziarah keluarga untuk melihat bagaimana di peringkat JKM boleh memberikan bantuan termasuk khidmat kaunselor untuk anak-anak ini yang dirasai sangat terkesan dengan insiden itu.

“Kita rasa bantuan kaunselor adalah penting selain melihat bantuan wang ringgit untuk kehidupan mereka akan datang. Kita ada pakar untuk lihat kesan psikologi mereka sebelum membantu kanak-kanak ini dan ahli keluarga terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan program Jerayawara Kasih KPWKM@Advokasi Antigangguan Seksual Negeri Kedah di sebuah hotel di sini, hari ini.

Berhubung dengan penjagaan kanak-kanak berusia lapan dan enam tahun itu kata Aiman Athirah, JKM juga akan bertindak mengenalpasti pihak yang layak dan sesuai untuk memelihara dua beradik berkenaan.

“Mesti balik kepada orang yang layak dan sesuai. Itu akan dikenalpasti oleh JKM dan ahli keluarga yang mana paling layak untuk menjaga anak tersebut.

“Kita di peringkat kementerian akan tawarkan bantuan kanak-kanak sepanjang mereka berada di usia 18 tahun ke bawah kalau mereka layak,” jelasnya.

Mengulas tentang kejadian tersebut, beliau turut menasihatkan agar pasangan suami isteri yang berhadapan dengan masalah kekeluargaan untuk tampil mendapatkan khidmat nasihat daripada pihak terlibat.

“Masyarakat kita sedang hadapi kekacauan minda, mental dan sebagainya tetapi jangan biarkan diri sendiri menanggung tetapi berhubunglah dengan kita di peringkat kementerian. Kalau tidak dapat berjumpa hubungilah talian Kasih, 15999.

“Kita ada beberapa program untuk memberikan didikan kepada wanita tentang hak mereka dan apa langkah-langkah yang mereka boleh ambil bila mereka berhadapan dengan keadaan yang mungkin seperti keluarga berantakan atau suami yang ganas. Kalau ada kekeliruan perlukan orang bercakap, selesaikan isu yang kita rasa tak boleh nak selesai. Jangan simpan, jangan pendam,” katanya.

Akhbar ini kelmarin melaporkan seorang jururawat Hospital Tuanku Fauziah (HTF) maut ditikam suaminya dipercayai akibat cemburu dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan padang Nyu di Perlis.

Menurut Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md. Rodi, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 6 pagi sewaktu mangsa ingin keluar bekerja sebelum berlaku pertengkaran dengan suaminya yang berusia 38 tahun. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya