KULAI: Biarpun tewas bagi kerusi Parlimen Kulai dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu, Chua Jian Boon tetap menyediakan perkhidmatan buat masyarakat setempat khususnya dalam parlimen berkenaan.
Jian Boon yang juga merupakan Timbalan Ketua Jabatan Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA memberitahu, perkhidmatan disediakan pihaknya adalah melalui penubuhan Biro Aduan Hak Wanita dan Keluarga.
Katanya, inisiatif itu diambil ekoran wujud peningkatan dalam aduan diterima berkaitan keganasan rumah tangga, penderaan, mangsa penipuan gambar lucah dan sebagainya.
“Bagi menggerakkan inisiatif ini, saya telah melantik dua wakil wanita untuk mengendalikan aduan-aduan yang diterima yang melibatkan kepentingan dan kesejahteraan wanita dan ahli keluarga lain.
“Walaupun tewas dalam PRU-15 lalu, namun semangat dan keinginan untuk berkhidmat kepada masyarakat tidak pernah luntur, saya akan tetap bantu dalam kapasiti sedia ada,” katanya kepada pemberita.
Sehubungan itu, Jian Boon berharap anggota masyarakat sama ada penduduk Parlimen Kulai atau kawasan berhampiran boleh mengunjungi pejabat khidmatnya bagi mendapatkan khidmat bantuan yang disediakan.
“Saya harap lebih ramai pihak akan berani tampil dan luahkan masalah dihadapi mereka agar tindakan bersesuaian dapat diambil dan bukan sebaliknya memendam perasaan dan terus menerus menjadi mangsa ketidak adilan.
“Untuk maklumat lanjut, boleh hubungi talian 011-40487985,” jelasnya.
Antara perkhidmatan lain yang turut disediakan termasuklah kaunseling, motivasi, pemeriksaan kesihatan percuma dan juga permohonan perumahan disedia kerajaan.
Pada PRU-15 lalu, Jian Boon tewas kepada calon Pakatan Harapan (PH), Teo Nie Ching yang kini merupakan Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital.-UTUSAN