Jerebu dari Indonesia: Tiada titik panas dikesan di Malaysia

Jerebu dari Indonesia: Tiada titik panas dikesan di Malaysia

NIK NAZMI NIK AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Keadaan jerebu teruk yang berlaku di sebahagian besar Malaysia sejak kelmarin bukannya berpunca akibat siri insiden kebakaran besar terjadi dalam negara ini.

Sebaliknya Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad malah menegaskan, bahawa tiada titik panas pada ketika ini yang dikesan di Malaysia.

“Memang pernah ada kebakaran besar lebih lima bulan lalu tetapi berdasarkan data terkini saya terima, belum ada yang jadi titik panas dikesan kini,” katanya kepada pemberita selepas melawat Wetlands Studios di Taman Wetland Putrajaya, di sini hari ini.

Semalam, Menteri Lingkungan Hidup dan Kehutanan Indonesia, Siti Nurbaya Bakar mendakwa negara itu bukan punca jerebu sekali gus menafikan laporan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Malaysia bahawa tiupan angin membawa jerebu berasal daripada ratusan titik panas di Indonesia.

Bagaimanapun, Siti Nurbaya mengakui merujuk laporan Pusat Khas Meteorologi ASEAN setakat akhir bulan lalu berbanding kenyataan JAS yang mengikut data tarikh terkini.

Nik Nazmi bagaimanapun mengakui data diterima pihak kementerian menunjukkan ada kes kebakaran berlaku di luar negara tetapi tidak mahu merujuk kepada mana-mana negara.

Justeru, beliau telah bertindak menghantar surat kepada syarikat-syarikat Malaysia yang ada kepentingan di negara jiran bagi memastikan bekerjasama dengan kerajaan tempatan.

Sehubungan itu, beliau mengesahkan pihak kementeriannya akan terus menggunakan pelbagai saluran platform dengan negara-negara serantau agar isu jerebu boleh ditangani.

Dalam perkembangan berkaitan, Nik Nazmi berkata, kerajaan belum lagi berhasrat mahu melaksanakan operasi pembenihan awan (OPA) kerana tahap jerebu belum mencecah paras yang ditetapkan.

Beliau berkata, langkah ini hanya boleh dibuat tertakluk kepada kehadiran awan dan cuaca sesuai dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 150 dalam tempoh lebih daripada 24 jam berturut-turut.

Beliau dalam pada itu turut memberi jaminan bahawa masyarakat tidak perlu bimbang kerana pihak kementeriannya sentiasa responsif termasuk pengaktifan jawatankuasa pengurusan bencana di peringkat daerah, negeri dan pusat sejurus kadar IPU melepasi paras 150 bagi tempoh lebih 24 jam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN