GUA MUSANG: Jenazah seorang lelaki Orang Asli yang dibaham harimau selamat dikebumikan secara Islam di Tanah Perkuburan Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Pos Pasik kira-kira pukul 1.30 petang tadi.
Sebelum itu, jenazah mangsa, Pisie Amud, 25, dibawa keluar dari Bilik Forensik Hospital Gua Musang sebelum dibawa ke RPS Pos Pasik bagi urusan pengebumian.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Pasik, Muhamad Sani Ngahtiman berkata, urusan pengebumian turut dihadiri penduduk kampung bagi memberikan penghormatan terakhir.
Katanya, cara pengebumian agak berbeza sedikit berbanding kematian biasa walaupun jenazah dikebumikan secara Islam.
“Jenazah mangsa telah disembahyangkan sebelum dibawa pulang ke Pos Pasik bagi urusan pengebumian.
“Penduduk meletakkan buluh runcing yang tajam di sekitar kubur mangsa untuk mengelakkan harimau belang terbabit terus mencari mayat mangsa,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini, hari ini.
Tambahnya, mangsa yang sudah berkahwin meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan mayat lelaki Orang Asli yang dibaham harimau belang diseret sejauh 300 meter ke cerun bukit di kawasan kebun kelapa sawit di RPS Pos Pasik di sini Selasa lalu, ditemukan dalam keadaan mengerikan.
Mangsa, Pisie Amud, 25, dijumpai semalam oleh penduduk Orang Asli dengan keadaan kaki kiri yang telah tiada dan mukanya sudah dalam keadaan tidak sempurna selepas dipercayai dimakan haiwan tersebut.
Selain itu, organ dalaman pada bahagian kepala mangsa juga sudah tiada selain terdapat kecederaan pada bahagian punggungnya. – UTUSAN