KUALA TERENGGANU: Jenazah bekas bintang bola sepak negara, Harun Jusoh, 75, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Sultan Mahmud, Batu Buruk, di sini, pada pukul 9.30 malam ini.
Kira-kira 100 ahli keluarga dan kenalan Allahyarham menghadiri pengkebumiannya termasuk bekas jurulatih Terengganu dan pasukan kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim.
Menurut anak lelaki Allahyarham, Firdaus Harun, 40, tahap kesihatan arwah ayahnya yang menghidap sakit saraf dan radang sendi sejak lebih dua tahun lalu mula merosot awal minggu ini.
Dia yang bekerja dan tinggal di Tampoi, Johor Bahru berkata, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira 4.26 petang tadi di samping isteri, anak dan menantunya di rumah keluarga itu.
“Ketika sihat, arwah suka bercerita terutama kepada cucu-cucunya pengalaman mewakili negara di pentas antarabangsa dan bergelar rakan-sepasukan kepada Allahyarham Mokhtar Dahari.
“Sejak menghidap sakit saraf, arwah hanya mampu terlantar di atas katil namun masih boleh makan seperti biasa sebelum tiba-tiba demam beberapa hari lalu dan keadaannya bertambah teruk, semalam.
“Saya tiba dari Johor Bahru jam 3 pagi tadi dan bersyukur sempat berada di sisinya bersama ibu, Sharifah Azizah Syed Omar, 71, dan tiga beradik yang lain,” katanya ketika ditemui di Lorong Haji Da, Batu Buruk, di sini, sebentar tadi .
Allahyarham merupakan tonggak kebangsaan yang beraksi pada Sukan Olimpik Munich 1972 bersama Allahyarham Mokhtar selain pernah menyertai Sukan SEA 1969 di Myanmar.
Allahyarham turut menyarung jersi Malaysia di Sukan Asia di Tehran, Iran pada 1974 yang meraih pingat gangsa selain membantu skuad negara mengalahkan Arsenal 2-0 pada 1975.
Penderitaan Allahyarham pernah mendapat perhatian Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim yang menziarahi arwah, Jun lalu. – UTUSAN