IPOH: Rata-rata waris mangsa yang menjejak kaki semula ke lokasi tragedi runtuhan Gunung Cheroh di sini, sebak apabila mengenangkan ahli keluarga yang terkorban dalam kejadian tersebut.
Tragedi pada 18 Oktober 1973 itu meragut 40 nyawa serta melenyapkan 20 buah rumah yang ketika itu kebanyakannya terdiri daripada masyarakat India.
Ada waris yang ditemui tidak pernah kembali lagi ke kawasan tersebut sejak 50 tahun lalu, namun hadir sempena majlis Pengkisahan Sejarah Runtuhan Gunung Cheroh – 50 tahun Dalam Ingatan yang diadakan di sini semalam.
Ternyata sukar buat waris untuk menahan perasaan sehingga ada yang mengalirkan air mata apabila menceritakan kembali pengalaman sedih mereka.
P. Mariyaee, 70, berkata, kejadian itu mengorbankan kakak iparnya bersama anak-anak yang tertimbus akibat runtuhan batu.
Jelasnya, sebelum tragedi berlaku, haiwan ternakan seperti lembu dan kambing berkelakuan pelik seperti memberi petanda akan berlaku musibah buruk.
“Kebanyakan mayat-mayat mangsa berada dalam keadaan tidak sempurna. Badan hancur berkecai dihempap batu runtuhan. Badan-badan mangsa dipungut untuk disemadikan,” katanya.
T. Subrumaniam, 62, pula berkata, dia pada waktu tersebut berusia 12 tahun dan kejadian pada pukul 7 malam itu masih diingati terutama detik runtuhan berlaku.
“Sewaktu hari kejadian itu, siaran televisyen tiba-tiba tergendala.
“Kemudian ada yang memaklumkan kejadian yang berlaku. Keadaan pada masa itu sangat gelap,” katanya.
Katanya, usaha berterusan dilakukan oleh pasukan keselamatan bagi menyelamatkan mangsa dan Menteri Besar Perak pada waktu itu, Datuk Seri Kamaruddin Mohd. Isa turut membantu waris dan penduduk selepas kejadian.
Gunung Cheroh terletak di Jalan Raja Musa Aziz berhadapan Taman Dr. Seenivasagam di sini.
Mangsa yang terselamat dalam kejadian itu kemudian dipindahkan ke Perkampungan Kacang Puteh di Buntong kira-kira tujuh kilometer dari tempat runtuhan.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri, A. Sivanesan berkata, kerajaan negeri akan berusaha membangunkan tapak peringatan di kawasan berkenaan sebagai memperingati peristiwa yang berlaku. – UTUSAN