LANGKAWI: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah menurunkan kira-kira 1,000 benih batu karang di perairan pulau ini sebagai usaha untuk memelihara kawasan batu karang yang turut mampu meningkatkan perlindungan kepada kawasan pantai.
Pengarahnya, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, program menanam batu karang tersebut merupakan salah satu program yang diadakan sempena Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2023 Peringkat Negeri Kedah.
“Seramai 120 orang Rakan Alam Sekitar (RAS) bersama rakan strategik JAS, Kedah Cement Sdn. Bhd. menyertai program penanaman batu karang ini bagi membantu untuk memelihara dan memulihara kawasan terumbu karang yang juga salah satu tarikan pelancong di sini.
“Kawasan terumbu karang ini akan menjadi tempat pembiakan ikan-ikan kecil, jadi kalau tiada batu karang, eko sistem laut dan biodiversiti akan terjejas,” katanya selepas turut serta dalam Program Menanam Batu Karang di Pulau Jemuruk, di sini, hari ini.
Tambahnya, terumbu karang juga berfungsi sebagai penahan arus air laut di dasar laut yang turut membantu mengurangkan hakisan pantai.
Ujarnya, usaha itu dilakukan bagi meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar serta meningkatkan kesedaran awam tentang isu penjagaan dan pembiakan terumbu karang.
“Pada masa sama program ini mampu memupuk minat dan kecintaan orang ramai terhadap alam sekitar yang cantik dan bersih. Benih karang tersebut diletakkan pada rak khas sebelum diturunkan di kawasan Tanjung Pulau Jemuruk. –UTUSAN