Jangan sembunyi, Pas Perlis memang bergolak - Utusan Malaysia

Jangan sembunyi, Pas Perlis memang bergolak

Abu Bakar Hamzah (kiri), Mohd Shukri Ramli (kanan),-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri, Abu Bakar Hamzah menegaskan bahawa Pas negeri tidak seharusnya menyembunyikan permasalahan dan perpecahan dalaman parti itu ketika ini.

Abu Bakar yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri berkata, pimpinan Pas perlu memperjelaskan situasi semasa yang berlaku bagi bersama-sama membina kekuatan di dalam gabungan berkenaan.

Justeru, beliau berharap pucuk pimpinan Pas dan PN perlu campur tangan bagi menyelesaikan isu perpecahan dalaman yang didakwa sedang dihadapi parti Islam itu.

“Sekiranya perpecahan dalaman yang berlaku ketika ini masih disembunyikan, ia dibimbangi akan menjadi semakin parah dan berlarutan.

“Jangan sembunyikan lagi (permasalahan yang berlaku) dan jelaskan supaya isu ini tidak lagi berpanjangan.

“Sebab itu, kita juga minta pucuk pimpinan tertinggi Pas dan PN dapat turun ke Perlis bagi membantu menyelesaikan segera isu perpecahan yang berlaku ini,” katanya.

Sebelum ini, Abu Bakar mendakwa ‘pergolakan’ Pas negeri itu melibatkan isu kefahaman agama, susun atur gerak kerja dan pentadbiran di Perlis yang dimenangi PN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekali gus menamatkan dominasi Barisan Nasional (BN).

Kenyataan tersebut menyusul selepas peringatan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada Ahad lalu supaya ahli parti tidak menjadi ‘penebuk kapal’ untuk menjatuhkan kerajaan diperintahnya.

Sementara itu, Abu Bakar berkata, gesaan yang dibuat olehnya berhubung isu itu bukannya bertujuan untuk menjatuhkan PN atau Pas di Perlis namun bagi memperbetulkan semula kedudukan gabungan itu di negeri ini.

“Kita faham Pas mempunyai etika untuk sentiasa menyembunyikan sebarang permasalahan dihadapi mereka namun dalam hal ini ia tidak boleh dibiarkan lagi berlarutan dan perlu diselesaikan segera.

“Sentuhan saya itu juga adalah semata-mata untuk membina kekuatan dan pengharapan supaya PN dapat memerintah beberapa dekad lagi di negeri ini selepas mengambil alih kepimpinan pada PRU15,” katanya.

Tambahnya, mana-mana parti sememangnya berdepan dengan masalah atau krisis namun perkara itu perlu wajar ditangani segera dengan sebaiknya.

“Oleh itu selesaikan segera isu yang dihadapi ini demi menggelakkan berlakunya perpecahan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya