PETALING JAYA: Individu, khususnya yang pernah terkesan dengan krisis Covid-19 sebelum ini perlu merancang sebaiknya kewangan peribadi dan isi rumah dengan teliti.
Perunding Pengurusan Hutang, Nurull Rahmat berkata, ini disebabkan ketidaktentuan ekonomi global yang didorong persekitaran kadar faedah yang tinggi dan kelemahan ringgit menyebabkan sekarang bukan masa yang sesuai untuk menambah hutang yang tidak perlu.
Katanya, apa yang membimbangkan ialah jumlah peningkatan individu yang berhutang juga dilihat semakin bertambah pada masa kini.
“Berdasarkan pemerhatian saya, boleh dikatakan jumlah penghutang tinggi.
“Perlu berhati-hati ketika berhutang. Sebab itu kami sentiasa tetapkan sasaran untuk menyelesaikan seramai 10,000 pelanggan yang berdepan masalah hutang tahun depan menerusi Program I Coach Kewangan (PICK) kami,” katanya.
Beliau yang juga pengasas Harvard School Academy (HSA) dalam masa yang sama berkata, orang ramai perlu mengenal pasti aliran tunai masing-masing bagi mengelak terlebih berbelanja dan terperangkap dalam hutang tidak perlu.
Katanya, ini adalah masa (sesuai) untuk membina semula simpanan dan menyimpan untuk tempoh enam bulan sebagai tabung kecemasan.
“Setiap masa kami memberi tumpuan kepada pengurusan hutang kerana masalah hutang kini menjadi beban yang besar kepada kesejahteraan kewangan seseorang jika tidak diuruskan dengan berkesan.
“Justeru kami sentiasa mahu membantu individu yang berhutang dengan merendahkan komitmen bulanan mereka selain membantu mengurangkan kadar faedah pinjaman sedia ada agar mempunyai lebihan simpanan memiliki aset,” jelasnya. – UTUSAN