SHAH ALAM: Penyanyi, Liza Hanim akan terus bersuara melawan segelintir warganet yang menjadikan rupa paras dan saiz badan sebagai bahan ejekan terutama di media sosial.
Jelas Liza, dia terkilan kerana masih ada individu pengecut yang hanya berani melontar ejekan dan hinaan tanpa memikirkan akibat buruk yang boleh terjadi terhadap si penerima.
“Memang ramai yang suka mengejek tanpa memikirkan akibat. Lepas komen, lesap. Tak bertanggungjawab, tak terfikir ke tentang kesan hinaan tersebut kepada orang yang menerima?
“Saya seorang yang positif. 27 tahun dalam industri, dah tak kuasa sebenarnya nak layan isu begini. Tetapi bagaimana pula dengan mereka yang ada masalah mental? Boleh trigger anorexia, self-harming tau!
“Janganlah nilai anak seni hanya dari segi rupa. Sudah-sudahlah. Lihatlah bakat yang ada. Berilah komen beradab. Kita ini orang ada tertib, ada kesopanan dan kesusilaan. Jangan merendahkan martabat diri,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, peserta Gegar Vaganza All Stars itu menambah, dia tidak akan mengambil sebarang tindakan udang-undang kerana telah lali menerima kecaman sebegitu sejak mula bergelar anak seni.
Tetapi dalam pada masa yang sama, penyanyi Siapa Sangka Siapa Menduga itu berharap agar orang ramai mengambil iktibar dan tidak menjadikan rupa paras atau saiz badan sebagai bahan ejekan.
“Saya bukan baru menyanyi, sejak dulu sudah kena pun. Tetapi saya dididik dalam keluarga yang cukup kasih sayang, sentiasa ada sistem sokongan yang kuat.
“Bohonglah kalau saya tak terasa, tetapi makin lama, saya seperti tidak kisah. Saya bukan hendak masuk pertandingan ratu cantik. Saya nak menyanyi dan menghiburkan peminat.
“Saya juga bangga bila ramai rakan artis bangkit bersuara isu ini. Jangan bunuh keyakinan orang lain dengan sikap pengecut anda. Simpan sikit,”katanya.