MELAKA: Sebuah jambatan sementera akan segera dibina di Kampung Setulang Daeng, Klebang di sini bagi menggantikan jambatan sedia ada yang sudah berusia 25 tahun, runtuh pada 22 September lalu.
Insiden itu mengakibatkan kesukaran bergerak kepada lebih 5,000 penduduk sekitar terutama di Pulau Gadong dan Setulang Daeng.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, jambatan sementara akan dibina Jabatan Kerja Raya (JKR) di kawasan berhampiran sebagai alternatif manakala pembinaan jambatan kekal yang baharu bakal dilaksanakan sebaik sahaja memperoleh peruntukan Kerajaan Persekutuan.
“Saya bersama Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Pengarah JKR negeri serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan datang ke sini untuk mencari jalan penyelesaian, bagaimana kita dapat memudahkan rakyat atau penduduk di sini.
“Buat sementara waktu, kita cuba dapatkan (bina) jambatan sementara yang akan diusahakan oleh JKR untuk memudahkan penduduk di Klebang dan Pulau Gadong untuk ke bandar,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
Tambah Ab. Rauf, perkara itu akan dibawa dalam mesyuarat terlebih dahulu sebelum kaedah pelaksanaannya dimulakan agensi terlibat.
“Dulu JPS bina jambatan ini atas kepentingan untuk menyelesaikan masalah banjir dan hakisan, ia bukan digunakan untuk kemudahan awam sepenuhnya kerana had jambatan ini hanya boleh menampung berat lima tan sahaja.
“Jambatan yang lama ini sudah berusia 25 tahun dan digunakan penduduk sebagai jalan harian untuk ke bandar, jadi kita faham apabila ia runtuh lebih 5,000 penduduk di sini mengalami kesulitan,” jelasnya. – UTUSAN