Isu rasuah tuntutan subsidi ayam, telur: KPKM sedia beri kerjasama

Isu rasuah tuntutan subsidi ayam, telur: KPKM sedia beri kerjasama

MOHAMAD Sabu pada sidang akhbar khas di KPKM, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedia memberi kerjasama lanjut berhubung isu rasuah membabitkan tuntutan bagi mempercepatkan bayaran subsidi ayam dan telur.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, beliau sudah mengambil maklum mengenai isu itu dan menyerahkan siasatan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata, pihaknya juga akan melakukan siasatan dalaman dan bersedia memberi kerjasama penuh kepada SPRM .

“Saya tidak mahu komen (ulas) apa-apa, biar ia diselesaikan oleh pasukan penyiasat terlebih dahulu,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Ditanya mengenai tempoh prosedur proses tuntutan subsidi tersebut, Mohamad bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Katanya, beliau akan menjelaskan isu berkaitan ayam dan telur termasuk prosedur tuntutan subsidi itu pada sidang akhbar berasingan pada 30 Oktober ini.

Media hari ini melaporkan, seorang pengarah syarikat ditahan SPRM selepas dipercayai merasuah pegawai kerajaan kira-kira RM17,000 bagi mempercepatkan bayaran tuntutan subsidi ayam dan telur.

Sumber berkata, suspek yang juga presiden sebuah persatuan berkaitan penternakan di Subang Jaya itu ditahan 6.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Suspek berusia 40-an itu ditahan bersama seorang pekerjanya yang berusia 30-an.

Difahamkan, bagi tempoh lima bulan, bayaran subsidi yang sudah dilunaskan berjumlah RM600 juta membabitkan lebih 300 syarikat penternakan ladang ayam pedaging dan ayam penelur seluruh negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya