KECOH baru-baru ini apabila tular notis diterima pemilik kenderaan di kawasan Pasir Gudang yang memaklumkan pemilik yang meletakkan kenderaan di depan kediaman boleh dikenakan kompaun.
Nyata notis yang dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) itu mendapat reaksi pelbagai pihak termasuk daripada orang ramai, pemimpin masyarakat dan ahli politik.
Ada yang bersetuju dengan langkah tersebut, namun tidak kurang juga yang mempertikaikan keputusan itu.
Malah ada yang menyifatkan keputusan MBPG itu akan lebih menekan kehidupan rakyat tatkala kos sara hidup yang kian meningkat ekoran peningkatan dalam harga barangan.
Ada pihak mendakwa tindakan itu ibarat ‘jalan mudah’ bagi MBPG menambahkan pendapatannya hasil daripada kompaun yang akan dikenakan.
Namun dakwaan itu disangkal Datuk Bandar Pasir Gudang, Datuk Asman Shah Abd. Rahman yang nenegaskan bahawa keputusan itu dibuat bagi ‘menjaga keharmonian’ penduduk di kawasan tersebut
Ini kerana menurutnya, MBPG menerima banyak aduan tentang tindakan meletakkan kenderaan di hadapan rumah jiran, sekali gus menimbulkan kesulitan kepada pemilik kediaman untuk keluar dan masuk.
Situasi tersebut juga telah menimbulkan pergaduhan sehingga ada jiran yang tidak bertegur sapa ekoran tindakan berkenaan.
Walaupun isu itu nampak remeh, namun ada yang berpendapat ia ‘memalukan’ Johor yang dilihat antara negeri yang pesat membangun, sedangkan ia boleh ditangani dengan lebih berhemah sekiranya semua pihak bersikap tolak ansur.
Dengan kata lain, tidak perlu sehingga dikenakan kompaun kerana tindakan itu akan lebih menjejaskan imej MBPG dan negeri.
‘Kunci’ penyelesaian isu ini adalah sikap saling memahami dan bertolak ansur antara jiran, iaitu yang meletakkan kenderaan harus peka dan segera mengalihkan kereta sekiranya jiran ingin keluar dan masuk ke kediaman mereka.
Janganlah membiarkan jiran menunggu lama untuk keluar masuk, begitu juga jiran berkenaan seharusnya perlu ada sikap sabar dan tidak terlalu cepat mendesak sehingga membunyikan hon berkali-kali sehingga menimbulkan rasa kurang senang antara mereka.
Mungkin sikap penghuni rumah pangsa dan flat yang sering mengalami kekurangan parkir boleh dijadikan iktibar dan diguna pakai.
Berdasarkan tinjauan dan pengalaman penghuni berkenaan, mereka tidak menarik brek tangan bagi memudahkan kenderaan tersebut dialihkan sekiranya penghuni lain memerlukan laluan.
Justeru mereka tidak perlu menunggu atau terpaksa memanggil pemilik kenderaan yang menghalang laluan, hanya perlu menolak dan mengalihkannya ke tempat yang lebih sesuai untuk memberi laluan kepada penghuni lain.
‘Persefahaman’ seperti ini memang sudah ditanam dalam diri setiap penghuni dan mereka saling bertoleransi dan bertolak ansur.
Jadi, isu kompaun kenderaan yang diletak di hadapan rumah boleh ditangani dengan lebih berhemah sekiranya masyarakat lebih bertolak ansur dan saling memahami.
Tindakan mengenakan kompaun memang hak dan terdapat dalam undang-undang pihak berkuasa tempatan berkenaan, namun kebajikan rakyat juga perlu diambil kita, apatah lagi dalam keadaan ekonomi dan kos sara hidup yang kian menekan pada masa ini. – UTUSAN