PUTRJAYA Kementerian Dalam Negeri (KDN) sentiasa berusaha mencari jalan keluar khususnya berkaitan isu gaji bersih seorang konstabel polis di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, isu itu sudah pun dibincangkan di peringkat dalaman KDN termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Sudah tentu kita akan berusaha dan mencari ikhtiar serta jalan keluar bagi mencari jawapan terhadap isu berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan KDN, di sini hari ini.
Ditanya sama ada isu gaji itu akan dimasukkan dalam pembentangan Bajet 2024 esok, Saifuddin berkata, beliau akan melihat semula perkara itu kerana permohonan Bajet 2024 oleh KDN sudah pun dimuktamadkan.
“Permohonan Bajet 2024 oleh KDN membabitkan emolumen, operasi dan pembangunan sudah pun dimuktamadkan.
“Kita akan tengok nanti bagaimana, saya tidak mahu membuat sebarang kenyataan pra-matang mengenainya,” katanya.
Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd Zain mendedahkan gaji bersih bagi anggota berpangkat konstabel polis adalah sekitar RM1,441 dan selepas tamat latihan mereka mendapat gaji bersama elaun sebanyak RM1,800 dan gaji bersih adalah RM1,500.
Dalam pada itu, Saifuddin dalam ucapannya berkata, KDN akan memastikan setiap pelaksanaan perolehan akan tertumpu kepada usaha membaik pulih fasiliti daif milik agensi dan jabatan di bawah kementerian.
“Ia termasuk proses baik pulih kuarters, balai polis, pos kawalan polis yang kini berada dalam daif selain memberi tumpuan kepada aspek kebajikan anggota pasukan keselamatan negara,” katanya. – UTUSAN