Istiqamah bantah serangan Israel ke atas Palestin - Hadi - Utusan Malaysia

Istiqamah bantah serangan Israel ke atas Palestin – Hadi

ABDUL Hadi Awang (kiri) ketika berucap pada perhimpunan aman membantah serangan Israel terhadap penduduk Palestin di pekarangan Masjid Rusila, Marang, hari ini. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Umat Islam di negara ini diminta  istiqamah mengadakan bantahan terhadap serangan rejim Israel ke atas penduduk Palestin di Semenanjung Gaza sejak Sabtu lalu.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, tindakan itu penting sebagai tanda penolakan tindakan kejam tentera Zionis yang berterusan menindas umat Islam di Palestin.

Ahli Parlimen Marang berkata,  penyatuan negara serta masyarakat Islam seluruh dunia telah mula meletakkan Israel dalam tekanan dan ini boleh dilihat melalui agenda Barat.

“Tentera Hamas kini dilaporkan menguasai medan perang terutama selepas banyak negara Islam turut serta melakukan tekanan demi tekanan ke atas Israel dan mengutuk perbuatan itu.

“Selain itu, perkembangan di Semenanjung Gaza menunjukkan Israel kini kian tertekan sehingga terpaksa menggunakan media Barat untuk memaparkan berita memihak mereka.

“Bagi umat Islam di Malaysia, kita harus terus istiqamah mengadakan bantahan untuk dan menyalurkan bantuan yang diperlukan rakyat Palestin dalam apa bentuk sekalipun,” katanya.

Abdul Hadi berkata demikian dalam ucapannya pada perhimpunan aman membantah serangan Israel terhadap penduduk Palestin di pekarangan Masjid Rusila, di sini, petang ini.

Beliau sebelum itu turut berkesempatan menunaikan solat hajat bersama kira-kira 2,000 jemaah bagi mendoakan rakyat Palestin yang berdepan pencerobohan Israel di Semenanjung Gaza.

Abdul Hadi dalam ucapannya turut mengecam tindakan Israel yang disifatkan telah mencabuli dan tidak menghormati undang-undang perang antarabangsa dalam serangan itu.

Menurutnya, serangan kejam di tempat awam itu telah menyebabkan mangsa yang terkorban meliputi golongan warga emas, kanak-kanak dan wanita yang tidak bersalah.

“Beberapa negara Barat dan Eropah sendiri secara terbuka membuat kenyataan bahawa Israel melanggar undang-undang antarabangsa ketika melakukan serangan ke atas Palestin.

“Kekejaman tentera Zionis bukan sahaja dikecam seluruh umat Islam di dunia, malah turut dikecam rakyat Yahudi apabila mendesak negara itu tidak menubuhkan kerajaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya