Isteri pengsan dapat tahu suami lemas - Utusan Malaysia

Isteri pengsan dapat tahu suami lemas

DUA kenderaan jenazah membawa dua mayat mangsa lemas dari Hospital Seri Manjung ke Kampung Sejagop. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Isteri kepada seorang daripada dua mangsa lemas bot karam di muara Sungai Perak pagi tadi, pengsan sebaik mengetahui suaminya sudah meninggal dunia.

Sarina Huri, 34, tidak dapat mengawal kesedihan dan terkejut selepas mengetahui jasad suaminya, Mohamad Afandy Mamosati, 34, ditemui terapung di muara Sungai Perak, tengah hari tadi.

Mamosati Rahmat Ali, 68, berkata, menantunya itu kini berada di rumahnya di Kampung Tersusun Sejagop, dan pasangan suami isteri itu mempunyai seorang anak berusia lapan tahun.

“Arwah yang juga anak bongsu daripada empat beradik baru beberapa bulan ini bekerja sebagai nelayan.

“Sebelum ini dia bekerja dalam pembinaan jambatan Bagan Datuk (Jambatan Sultan Nazrin Shah) dan selepas jambatan itu siap, dia beralih menjadi nelayan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Seri Manjung di sini hari ini.

Mohamad Afandy dan sepupunya Mohd. Amirul Azril Mohd. Shafiee, juga berusia 34 tahun, ditemui terapung di muara Sungai Perak, dekat Kayan, tengah hari tadi.

Difahamkan, mereka dalam perjalanan membawa bot dari Jeti Sungai Tiram, Lekir, balik ke Kampung Sejagop, mukim Kota Setia, petang semalam, untuk dibaiki, selepas bot itu mengalami kerosakan pada bahagian badannya.

Bagaimanapun, sebaik tiba di kawasan muara Sungai Perak, dekat Kayan, bot dinaiki dilanda arus deras air pasang sehingga kedua-duanya terjatuh ke dalam air.

Jeti Sungai Tiram, Lekir, terletak di kawasan perairan laut Selat Melaka manakala Kampung Sejagop terletak di tebing Sungai Perak.

Menurut Mamosati, nelayan lain memberitahunya bahawa mereka menemui sampan dinaiki kedua-dua anak dan anak saudaranya itu terapung tanpa kelibat mereka petang semalam.

Sementara itu, Mohd. Shafiee Ali, 57, memberitahu beliau sempat minum bersama Mohd. Amirul Azril sebelum anaknya itu keluar untuk mengambil bot mereka.

Jelas beliau, anak sulung daripada empat beradik itu tidak menunjukkan sebarang perubahan sebaliknya berkelakuan seperti biasa sahaja.

Beliau menjelaskan anaknya itu meninggalkan seorang isteri, Norain Fahiza Bakir, 28, dan tiga orang anak.

Kedua-dua mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sejagop, selepas solat Asar hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya