Israel perlu didakwa kerana melakukan jenayah perang - Utusan Malaysia

Israel perlu didakwa kerana melakukan jenayah perang

Najmudeen Kader
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Israel perlu didakwa atas jenayah pembunuhan beramai-ramai dan pencabulan hak asasi manusia susulan tindakan kejam rejim Zionis itu terhadap rakyat Palestin.

Presiden Liga Muslim Malaysia, Datuk Najmudeen Kader berkata, Israel telah mula melakukan pembunuhan beramai-ramai ke atas rakyat Palestin apabila bertindak mengebom hospital hingga menyebabkan hampir 1,000 nyawa terkorban.

”Situasi terkini di Gaza adalah amat mengerikan apabila jumlah kematian membabitkan orang awam terus meningkat di tengah-tengah pencerobohan dan sekatan menyeluruh oleh rejim Israel,” katanya di sini hari ini.

Pada 17 Oktober lalu, Kementerian Kesihatan Palestin melaporkan angka kematian rakyat Palestin akibat serangan udara Israel yang berterusan di Semenanjung Gaza meningkat kepada 2,808.

Sekurang-kurangnya 10,859 rakyat Palestin cedera dalam pengeboman Israel di kawasan pinggir laut.

Menurut Najmudeen, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) perlu menghentikan pembunuhan beramai-ramai dan membawa Israel serta pihak terlibat ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan juga Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

“Tindakan kejam Israel ditunjukkan dengan sengaja menyasarkan masyarakat awam yang tidak bersalah. Israel telah memusnahkan bangunan-bangunan di Gaza termasuk tempat ibadat dan sekolah.

”Malah, Israel membunuh sesiapa sahaja termasuk wanita dan kanak-kanak, rakyat Gaza pada masa kini dibiarkan tanpa bekalan elektrik, tiada makanan, tiada bahan api dan tiada bekalan air,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya dan 37 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain mengutuk sekeras-kerasnya dan mengecam perbuatan tidak berperikemanusiaan Israel itu sebagai jenayah perang yang paling kejam.

“Kuasa-kuasa Barat, Eropah dan dunia perlu bersuara bersama PBB dan OIC untuk menggesa agar pembunuhan beramai-ramai ke atas rakyat Palestin oleh rejim Israel mesti dihentikan serta-merta,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN