IPEF 2023 sasar bina pekerja kompeten, tingkat produktiviti negara

IPEF 2023 sasar bina pekerja kompeten, tingkat produktiviti negara

V. SIVAKUMAR dalam sidang akhbar selepas merasmikan Forum Pekerjaan Awam Antarabangsa (IPEF) 2023  di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 1,000 peserta dari 20 buah negara menghadiri Forum Pekerjaan Awam Antarabangsa (IPEF) 2023  yang berlangsung tiga hari bermula semalam di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini.

IPEF 2023 menjadi platform global untuk perbincangan mengenai penyelesaian inovatif dan amalan terbaik yang menampilkan 28 ahli panel antarabangsa antaranya Belgium, Indonesia, Ireland, Republik Korea, Turki dan Malaysia.

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, program anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu adalah komitmen berterusan Kementerian Sumber Manusia (KSM) untuk meningkatkan produktiviti negara.

“Forum antarabangsa ini berperanan dalam membangunkan modal insan yang cekap, produktif, responsif dan berdaya tahan dalam pasaran buruh.

“Pelbagai inisiatif dan fokus program akan memberi pulangan kepada pemain-pemain industri termasuk pekerja dan majikan untuk kekal relevan dalam dan luar negara berlandaskan trend terkini. Kita terapkan dasar teras Madani untuk pastikan pembangunan dari segi sosial dan ekonomi mencapai matlamat,” katanya ketika merasmikan forum berkenaan.

Antara fokus utama yang dibawakan sepanjang forum berlangsung ialah Transformasi dan Ketangkasan Tenaga Kerja, Meningkatkan Perlindungan Pengangguran, Memperkukuh Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Menggalakkan Pekerjaan Belia, Meluaskan Akses Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) kepada Pembiayaan dan Sumber Pertumbuhan Lain serta Memperkasakan Kumpulan Terpinggir dalam Tenaga Kerja.

Dalam pada itu, Sivakumar menekankan tujuh kunci utama yang merangkumi Malaysia perlu berada di kedudukan teratas 30 ekonomi terbesar dunia iaitu dengan berada pada 12 teratas dalam Indeks Daya Saing Global, pendapatan buruh membentuk 45 peratus daripada jumlah pendapatan.

“Selain itu, penyertaan wanita dalam tenaga buruh perlu mencapai 60 peratus, 25 teratas dalam Indeks Pembangunan Manusia, 25 teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah, dan kemampanan fiskal dengan defisit fiskal sebanyak 3 peratus,” katanya.

IPEF 2023 turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Penyelidikan dan Latihan Statistik, Ekonomi dan Sosial untuk Negara Islam (SESRIC) dan Perkeso. 

SESRIC memainkan peranan penting dalam meningkatkan perlindungan sosial dan rangkuman kewangan dalam kalangan negara Islam di seluruh dunia.

Perkongsian strategik kedua-dua pihak bermula pada 2022 dengan memberi keutamaan dalam bidang statistik, penyelidikan dan latihan

Melalui kerjasama itu mengesahkan komitmen kedua-dua pihak dalam meningkatkan perlindungan sosial di negara Islam.

Terdahulu, IPEF 2021 diadakan secara maya ekoran pasca Covid-19, namun kali ini diadakan dengan kerjasama beberapa buah negara dengan tema Membina Tenaga Kerja Berdaya Tahan: Pendekatan MADANI. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya