KUALA TERENGGANU: Penduduk dan pelancong di Pulau Redang dekat sini mengeluh apabila capaian internet dan talian telefon bimbit di pulau peranginan itu sering mengalami gangguan sejak tiga bulan lalu.
Penduduk mendakwa masalah gangguan capaian internet dan panggilan telefon bimbit mula berlaku selepas perkhidmatan tersebut dinaik taraf daripada teknologi 4G kepada 5G.
Pengurus Koperasi Setia Jaya Pulau Redang, Roky Ami, 48, berkata, penduduk di pulau ini mendakwa mereka tidak menerima panggilan masuk menerusi telefon bimbit apabila dihubungi pihak lain.
Menurutnya, masalah tersebut memberi kesan terhadap penggiat pelancongan di pulau itu apabila mereka tidak dapat dihubungi pihak yang ingin membuat tempahan hotel, resort dan chalet serta bot.
Malah, katanya, penggiat pelancongan itu juga dimarahi pelancong yang membuat tempahan awal apabila mereka gagal dihubungi untuk urusan ke pulau peranginan berkenaan.
“Perkara tersebut telah dilaporkan kepada pihak terlibat, namun masih masalah gangguan capaian internet dan talian telefon masih berlarutan sehingga hari ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Roky memberitahu, terdapat lima buah pemancar komunikasi dibina di sekitar pulau ini, namun difahamkan hanya tiga pemancar yang beroperasi sepenuhnya.
Bagaimanapun, tambahnya, penduduk dan pelancong di pulau ini masih tidak mendapat liputan yang memuaskan apabila sering mengalami gangguan.
Seorang kakitangan hotel, Muhammad Othman, 54, pula mendakwa, kebanyakan kawasan di pulau ini menghadapi masalah capaian internet yang teruk.
Katanya, masalah yang dihadapi itu bukan sahaja menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk, malah pelancong.
“Penduduk mengharapkan pihak terlibat dapat menyelesaikan segera masalah capaian internet dan talian telefon bimbit untuk kemudahan penduduk serta pelancong,” ujarnya.-UTUSAN