Institusi Yang di-Pertuan Agong bukan simbolik semata-mata

Institusi Yang di-Pertuan Agong bukan simbolik semata-mata

SULTAN Ibrahim Sultan Iskandar mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-262 di Istana Negara, hari ini. -GAMBAR FACEBOOK SULTAN IBRAHIM SULTAN ISKANDAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Institusi Yang di-Pertuan Agong bukan sekadar simbolik semata-mata sebaliknya menjadi pelindung kepada amalan demokrasi, tiang seri kepada keamanan negara dan nadi kepada perpaduan negara. 

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah sedemikian dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-262 di Istana Negara hari ini.

Seri Paduka bertitah, institusi Yang di-Pertuan Agong mempunyai roh dan semangat sebagai instrumen semak dan imbang terakhir negara yang berupaya menggunakan budi bicara untuk menzahirkan kata putus, tatkala negara menemui jalan buntu. 

“Manakala pada hemat Paduka Adinda, Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu pula secara kolektif adalah merupakan payung yang melindungi rakyat jelata serta benteng kepada kemakmuran dan kesejahteraan negara. 

“Kekuatan yang mengalir dalam tubuh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah cerminan kepada daulat sekalian Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu,” titah Seri Paduka. 

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian dalam hari kedua Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-262 yang berlangsung di Istana Negara, hari ini. 

Perutusan Seri Paduka itu dikeluarkan Pejabat Mohor Besar-Raja-raja. 

Terdahulu,  Al-Sultan Abdullah yang akan menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 pada 30 Januari depan mengenang pelbagai peristiwa dan badai gelora termasuk kemelut politik yang melanda tanah air sepanjang bersemayam sejak 31 Januari 2019. 

Antaranya apabila Seri Paduka merupakan satu-satunya Yang di-Pertuan Agong yang diberi keafiatan memerintah negara dengan empat orang perdana menteri bersama empat Jemaah Menteri yang berlainan. 

Selain itu, berhadapan dengan situasi Parlimen tergantung buat pertama kalinya dalam sejarah demokrasi Malaysia selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) serta penularan pandemik Covid-19 yang memberi kesan kepada ekonomi negara dan kelangsungan hidup rakyat sehingga proklamasi darurat terpaksa diisytiharkan selain negara pula terpaksa menempuh perintah kawalan pergerakan. 

“Namun, sama ada ketika berhadapan dengan kemelut politik atau gelora pandemik Covid-19 dan sepanjang Paduka Adinda memerintah negara, Paduka Adinda sentiasa menjunjung sumpah yang dilafazkan iaitu untuk memerintah negara Malaysia yang kita cintai ini dengan secara adil menurut peruntukan Perlembagaan Persekutuan. 

“Dengan penuh ketelusan hati, Paduka Adinda juga amat bersyukur dan berterima kasih di atas kesudian Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu berangkat ke Istana Negara untuk berbincang dan bersama berganding bahu dalam melontar buah pandangan yang bernas demi untuk membantu Paduka Adinda dalam mencapai jalan penyelesaian yang terbaik buat negara dan kesejahteraan rakyat jelata. 

“Berkat daulat dan sokongan daripada Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, pelbagai peristiwa dan dugaan yang melanda negara dapat diatasi sepanjang tempoh lima tahun yang berlalu. 

“Pengakhirannya, negara yang kita cintai ini serta rakyat jelata dilindungi dari terus terjerumus ke kancah yang tidak menentu,” titah Al-Sultan Abdullah. 

Sementara itu, Raja Pengerusi Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-262, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mewakili Majlis Raja-raja mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Al-Sultan Abdullah kerana memikul tanggungjawab sebagai Payung Negara dengan penuh amanah, bijaksana dan cukup sempurna. 

“Semasa pemerintahan Paduka Adinda, negara mengalami beberapa masalah yang sangat mencabar, khasnya pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia dan pergolakan politik tanah air sehingga melibatkan pelantikan empat orang perdana menteri. 

“Namun, kesemua masalah tersebut berjaya diselesaikan, berkat kebijaksanaan Paduka Adinda berunding dengan para pemimpin politik serta dengan Yang Maha Mulia Raja-Raja. 

“Kejayaan Paduka Adinda bukan sahaja dalam menyelesaikan kemelut politik, tetapi juga dalam menyantuni rakyat jelata. Kembara Borneo yang julung kali diadakan telah berjaya mendekatkan hubungan raja dengan rakyat dan meningkatkan kesetiaan rakyat kepada Raja dan negara,” titah Seri Paduka yang juga Sultan Johor. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN