Insiden tunda kereta: 12 lelaki didenda RM3,000

Insiden tunda kereta: 12 lelaki didenda RM3,000

SEBAHAGIAN 12 individu hadir di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan merusuh berkaitan insiden tunda kereta. -UTUSAN/IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 12 lelaki yang tular merusuh menggunakan senjata dalam satu insiden penundaan kereta di Kampung Malaysia Tambahan, minggu lalu masing-masing didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Mereka ialah Muhammad Farid Khalid, 35, Amir Aizuddin Alfarizan, 23, Muhammad Lum Chang Sing, 24, Mohammad Hakimi Mohd Hanafi, 27, Muhammad Firdaus Azizul Rahman, 26, Chan Weng Loon, 25, Khoo Ming Ru, 30, Wong Jia Jiet, 26, Tan Jin aun, 26, Wong Zi Jing, 25, Kesavan, 19, dan Wan Yi Han, 28.

Majistret Illi Marisqa Khalizan menjatuhkan hukuman denda terhadap kesemua tertuduh selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikenakan.

Sekiranya tertuduh-tertuduh gagal membayar jumlah denda itu mereka boleh dipenjara selama tiga bulan. Kesemuanya membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa bersama-sama hadir (atau menyertai atau didapati berada) dalam rusuhan dan memiliki senjata api (sama ada amunisi, bahan letupan, benda melecur, benda yang boleh memudaratkan, kayu, bata atau apa-apa senjata) yang boleh digunakan untuk menyerang.

Kesalahan itu dilakukan di hadapan sebuah kondominium di Kampung Malaysia Tambahan, di sini pukul 1.37 pagi pada 2 Oktober lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam prosding hari ini, Muhammad Farid, Amir Aizuddin, Muhammad Lum Chang Sing, Mohammad Hakimi dan Muhammad Firdaus diwakili peguam Hannan Ishak manakala Weng Loon, Ming Ru, Jia Jiet, Jin Aun, Zi Jing, Kesavan dan Yi Han diwakili peguam Tripatjit Singh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zuhairi Osman.

Pada 2 Oktober lalu, media melaporkan polis menahan seramai lapan lelaki berhubung rusuhan bersenjata melibatkan penundaan sebuah kereta yang terlibat dalam kemalangan di Kampung Malaysia Tambahan, di sini.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada orang awam pada pukul 1.37 pagi.

Kejadian berpunca daripada kes kemalangan melibatkan sebuah kereta dan pergaduhan antara dua pihak untuk menunda kenderaan terbabit.

Bertindak atas maklumat, polis membuat tangkapan ke atas lapan lelaki tempatan berusia 22 dan 44 tahun disyaki terlibat dalam kejadian rusuhan tersebut.

Terdahulu, beberapa klip video tular di media sosial memaparkan satu kejadian rusuhan yang berlaku di tepi sebuah lebuh raya.

Berdasarkan klip video itu, segelintir individu dilihat menyerang beberapa kenderaan dengan menggunakan topi keledar dan batu sebelum meninggalkan lokasi selepas kehadiran pihak berkuasa.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN