KUALA LANGAT: Kakitangan awam di Selangor berkemungkinan menerima insentif khas di samping RM2,000 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, selepas perolehan negeri mencapai sasaran iaitu RM2.25 bilion sehingga Ogos lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penjawat-penjawat awam di negeri ini wajar menerima insentif setanding dengan pencapaian mereka.
“Biasanya kita melihat kepada pencapaian (kutipan hasil). Alhamdulillah tahun ini hasil kita masuk bulan Ogos sudah mencapai sasaran dan saya percaya penjawat-penjawat awam negeri Selangor wajar menerima insentif yang setanding dengan pencapaian mereka.
“Namun angka RM2,000 (insentif Bajet 2024 Persekutuan) banyak melegakan ibu bapa dalam kalangan penjawat-penjawat awam terutama berdepan dengan permulaan persekolahan dan dan persediaan Hari Raya Aidilfitri,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Semalam, Anwar mengumumkan insentif khas kepada penjawat awam bergred 56 ke bawah sebanyak RM2,000 yang disifatkan sebagai paling tinggi, sementara pesara pula menerima RM1,000.
Dalam pada itu, Amirudin turut menyambut baik sokongan Kerajaan Persekutuan terhadap projek Aliran Transit Ringan (LRT) di jajaran Sentosa Klang hingga Kuala Selangor dan pembangunan pelabuhan Pulau Carey di Kuala Langat.
“Sebenarnya kita baru memulakan kajian jajaran stesen LRT dari Sentosa hingga ke Kuala Selangor. Kita berharap selepas setahun akan mendapat pelan yang lebih baik dan jajaran yang lebih konkrit. Ia selaras Tekad Selangor untuk membina jajaran dari utara Selangor hingga ke Klang.
“Apabila Pulau Carey diberikan RFP (Notis Cadangan Pelawaan) nanti kita sebagai kerajaan negeri melalui anak syarikat yang dilantik untuk memegang tanggungjawab bagi berbincang dengan mereka yang akan diberi RFP kemudian untuk mewakili pihak negeri.
“Yang mana ia mewakili sekitar 15 hingga 20 peratus daripada pembangunan di sana. Jadi secara dalam tempoh jangka panjang pelabuhan itu akan dapat memberikan hasil kepada negeri secara berkala atau berterusan pelabuhan itu ada di sana,” jelasnya. – UTUSAN