Insentif baharu galak penoreh getah hasilkan lateks - Utusan Malaysia

Insentif baharu galak penoreh getah hasilkan lateks

FADILLAH Yusof (kanan) menyantuni masyarakat Orang Asli pada pelancaran model baharu projek rintis IPL dan Projek Rintis Getah Asli Mampan Malaysia (MSNR) di Sungkai hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Kumpulan pekebun kecil getah sekali lagi dibantu kerajaan kali ini bagi mereka yang melakukan penghasilan susu getah atau lateks menerusi kaedah baharu.

Bantuan itu dilakukan menerusi pelaksanaan model baharu projek rintis Insentif Pengeluaran Lateks (IPL) untuk tempoh selama setahun di beberapa negeri seperti Perak, Kedah dan Sabah.

Setiap pekebun kecil getah yang menyertai projek itu akan menerima empat manfaat iaitu insentif bulanan berjumlah RM2 sekilogram (100 peratus kandungan getah kering) dan bayaran Insentif Penyertaan RM200 setiap bulan dengan tempoh terhad selama setahun bagi pekebun kecil yang beralih kepada pengeluaran lateks.

Manfaat lain ialah bayaran Insentif Galakan RM100 setiap bulan dengan tempoh terhad selama setahun bagi galakan pekebun kecil yang sedang mengeluarkan lateks dan Insentif Produktiviti berdasarkan produktiviti tahunan yang mencapai sasaran produktiviti antara 1,000 ke 1,499 kilogram bagi setiap hektar setahun (Kluster 1) dan 1,500 kilogram ke atas setiap hektar setahun (Kluster 2).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, projek rintis itu juga boleh membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil kerana model baharu yang dibangunkan tersebut adalah dengan memendekkan rantaian pemasaran melalui jualan lateks terus kepada kilang pemproses.

Tambahnya lagi, inisiatif yang dibuat itu juga adalah bertujuan mengurangkan kebergantungan import lateks negara yang kini sebanyak RM3 bilion pada tahun 2022.

“Kalau kita dapat meningkatkan pengeluaran lateks dalam negara, maka import akan berkurangan. Kita dapat mengurangkan aliran keluar duit kita,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan model baharu projek rintis IPL dan Projek Rintis Getah Asli Mampan Malaysia (MSNR) di sini hari ini.

Selain pekebun kecil, kilang yang terpilih untuk memproses lateks dalam projek itu juga memperolehi manfaat melibatkan kebenaran khas mengutip lateks bersyarat dan pinjaman kemudahan serta peralatan.

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, penilaian akan dilakukan dalam tempoh setahun pelaksanaan projek rintis itu bagi mengumpul data dan menentukan langkah seterusnya.

Jelasnya, kerajaan memperuntukan sejumlah RM21 juta bagi tujuan pelaksanaan program IPL itu.

Beliau berkata, anggaran seramai 1,500 pekebun kecil dan tiga kilang akan terlibat dalam projek rintis itu.

Dilaporkan sebelum ini kebanyakan penoreh getah enggan berpindah kepada kaedah penghasilan lateks kerana melibatkan proses yang rumit selain merasakan harga tidak jauh berbeza dengan jenis getah sekerap atau beku.

Kerajaan dalam Belanjawan 2024 bersetuju untuk menaikkan paras harga pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) kepada RM3 sekilogram dengan peruntukan RM400 juta.

Dalam pada itu, timbalan perdana menteri juga berkata fokus terhadap MSNR ialah tiada penyahutanan dan penerokaan tanah secara haram untuk penanaman getah, kemampanan alam sekitar, pematuhan sosial dan kebolehkesanan rantaian bekalan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya