GELARAN Yang Berhormat bukan sesuatu kebanggaan yang harus dicanang tanpa kejayaan mengiringi. Kalau tidak, seseorang itu hanya akan dilihat umpama tin kosong, bunyinya sahaja gempita tetapi isinya tiada.
Bagi komposer dan bekas penyanyi, Altimet, kedudukan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya bukanlah satu bebanan tetapi tanggungjawab yang membawa suara rakyat.
Mengakui banyak rakan artis yang datang memohon bantuan dan menyuarakan pendapat, Altimet merasakan banyak aspek yang harus diberi perhatian khusus dalam industri seni kreatif tempatan.
Benarkah masalah dalam industri seni sekritikal yang digembar-gemburkan? Adakah sekurang-kurangnya satu jalan penyelesaian untuk mengubah nasib penggiat seni khususnya golongan veteran? Altimet, jawablah!
J: Lebih sebulan bergelar Yang Berhormat, apa perubahan terbesar yang Altimet rasakan sekarang? Adakah menjadi ADUN itu satu bebanan yang paling berat?
A: Terus terang, tidak banyak bezanya dengan tugas saya sebagai penyelaras 10 bulan sebelum kerajaan negeri dibubarkan. Rangkuman kerja sama tetapi mungkin ketika mula bersidang nanti, peranan itu akan berbeza.
Saya berada di kawasan Lembah Jaya hampir setiap hari. Mendengar masalah penduduk dan memahami apa yang selama ini menjadi beban mereka. Ini adalah cabaran dan tanggungjawab, saya tak fikir sebagai bebanan.
J: Sebelum ini Altimet ada meluahkan rasa kekok apabila digelar YB, adakah perasaan itu masih sama sehingga sekarang?
A: Ya, masih kekok lagi. Tetapi itu menyenangkan orang untuk berkomunikasi dengan saya, menzahirkan masalah mereka. Saya perlu tahan walaupun mungkin tidak selesa dengan gelaran YB itu.
Saya juga tidak menafikan, skeptikal kononnya seorang anak seni tak boleh buat kerja sebagai wakil rakyat itu masih ada. Mungkin ramai yang persoal tetapi saya perlu bukti sebaliknya. Kita bawa sangsi itu ke arah kebaikan.
J: Selepas bergelar wakil rakyat ini, ada tak rakan-rakan artis yang datang meminta bantuan atau menyuarakan masalah mereka?
A: Memang ada rakan-rakan artis tidak kira baharu atau veteran datang memohon bantuan. Ada daripada mereka meminta saya untuk bersuara tentang beberapa isu. Saya sudah bawakan masalah itu ke peringkat lebih tinggi.
Saya perlu prihatin dan dengar setiap masalah. Industri seni kreatif boleh menyumbang kepada ekonomi negara. Kita juga sedia maklum, pandemik yang berlaku memberi kesan kronik kepada segelintir anak seni.
Artis veteran sebagai contoh, harus lebih dihargai dan dipandang. Bukanlah mahu menyalahkan sistem sedia ada, tetapi apa yang boleh diperbaiki kita perbaiki. Kita sama-sama mendayung perahu yang sama.
J: Ada beberapa isu yang berlegar dalam industri seni antaranya artis luar negara menerima bayaran lebih tinggi dan nasib penggiat seni veteran yang dikatakan terpaksa ‘mengemis’ bantuan kerana kesesakan hidup. Apa pendapat Altimet berhubung isu-isu tersebut?
A: Isu ‘mas kahwin’ artis luar tinggi itu bukan sesuatu yang baru, kita harus lihat dari pelbagai sudut. Mungkin perbelanjaan mereka jauh lagi tinggi dan apa yang mereka minta seiring dengan apa yang diberi.
Tetapi itu tidak bermakna kita harus perlekeh anak seni tempatan. Biarlah setimpal, jangan terlepas pandang. Saya sebagai penulis lagu ada royalti, pendapatan pasif tetapi pelakon pula tiada.
Kita perlu wujudkan sistem royalti dalam kalangan pemain industri seni lakon. Kita ambil contoh negara luar yang mengamalkan sistem itu. Pelakon Friends misalnya, sehingga sekarang menikmati royalti daripada sitkom tersebut.
J: Berbalik kepada peranan baharu sekarang, bagaimana Altimet membahagi masa? Sebagai wakil rakyat, anak seni, suami dan ayah?
A: Memang sukar tetapi saya sedang mencari formula itu. Bagaimana untuk membahagi masa seadilnya. Sekarang saya amalkan puasa Isnin dan Khamis. Jadi masa makan itu boleh diganti dengan tidur,
Macam kerja sebagai anak seni sebelum ini, ada hari berat dan ada ketikanya kurang. Tiga bulan pertama ini, kami menganggap kesilapan sebagai satu pengajaran. Saya berutung diberi pasukan yang sama sedia membantu.