Imej kerajaan tidak terjejas dengan pengurangan subsidi

Imej kerajaan tidak terjejas dengan pengurangan subsidi

FIRDAUSI SUFFIAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Langkah kerajaan mengurangkan subsidi dan meningkatkan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dalam Belanjawan 2024 disifatkan sebagai tindakan tepat yang diambil oleh Kerajaan Perpaduan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Politik Ekonomi UiTM Sabah, Dr. Firdausi Suffian berkata, pengurangan subsidi tidak akan menyebabkan imej kerajaan pimpinan terjejas kerana rasionalisasi subsidi itu disusuli dengan peningkatan dalam aspek lain yang membolehkan kebajikan rakyat terus terbela.

Namun, dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada subsidi, gaji progresif perlu dinaikkan bagi membolehkan rakyat menjalani kehidupan dengan lebih selesa.

“Sekarang kita tidak nampak imej kerajaan akan terjejas kerana apabila subsidi dikurangkan, dia (Datuk Seri Anwar Ibrahim) memastikan STR dinaikkan kepada RM3,700. Tapi, kalau subsidi dikurangkan dan STR kekal seperti sekarang, itu berbahaya kepada imej kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, secara keseluruhan, belanjawan itu menunjukkan dasar fiskal yang berkembang, berasaskan reformasi kerana perkenalkan Akta Tanggungjawab Fiskal, bersifat inklusif dalam memperkasakan rakyat dan mempunyai faktor penarik (wow factor) melalui pengumuman insentif penjawat awam RM2,000.

Katanya, tidak pernah insentif atau bonus penjawat awam mencecah RM2,000 seperti yang diumukan dalam Belanjawan 2024.

Walau bagaimanapun, ada juga perkara yang tidak popular dan yang terlepas pandang seperti kenaikan gaji progresif yang tidak disentuh dalam Belanjawan 2024.

Menurut Firdausi, dasar fiskal bukan hanya tentang wang ringgit tetapi, bagaimana mengurus secara efisien dan efektif, itu jauh lebih penting.

Dasar ini mungkin tidak popular kerana ia memperlihatkan kadar cukai dinaikkan dan cukai baharu mula diperkenalkan namun, ia penting bagi mengembangkan ekonomi negara.

Katanya, kerajaan boleh memperoleh sumber kewangan bagi melaksanakan rasionalisasi subsidi menerusi pelaksanaan cukai-cukai baharu seperti cukai kepada syarikat yang mempunyai pendapatan global sekurang-kurangnya 750 juta euro, cukai barangan mewah dan cukai terhadap syarikat tempatan berdasarkan keuntungan bersih pada kadar 10 peratus dan penguatkuasaan e-invois kepada pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan melebih RM100 juta.

Jelas beliau lagi, dalam menangani ketirisan, kerajaan tidak harus fokus kepada subsidi sahaja kerana ketirisan turut berlaku dalam perbelanjaan-perbelanjaan lain yang tidak direkodkan. Aspek sebegitulah yang harus diberi perhatian kerana di sana banyak berlaku pembaziran.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya