PUTRAJAYA: Persidangan Antarabangsa Kaunselor Pendidikan (ICEC) 2023 anjuran Bahagian Psikologi dan Kaunseling Kementerian Pendidikan (KPM) menyerlahkan lagi kompetensi kaunselor pendidikan menerusi aktiviti penyelidikan, menulis artikel serta jurnal berkaitan kesihatan mental.
Setiausaha Bahagian (SUB) Bahagian Psikologi dan Kaunseling KPM, Salmiah Monshie berkata, aktiviti tersebut juga menjadi salah satu perkara utama dalam menambah baik perkhidmatan kaunseling yang diberikan kepada warga KPM.
“Persidangan ini merupakan acara tahunan yang diadakan pada bulan Oktober sempena Bulan Kaunseling Kebangsaan di mana kita raikan dan penuhi dengan aktiviti-aktiviti yang menjurus kepada perkhidmatan psikologi dan kaunseling.
“Kita juga bawa Lembaga Kaunselor Malaysia yang memberikan penerangan tentang hala tuju perkhidmatan kaunseling di negara ini kepada peserta yang terdiri daripada kaunselor pendidikan, guru-guru bimbingan dan kaunseling yang bertugas di organisasi dan sekolah di bawah KPM.
“Selain menerangkan tentang hala tuju perkhidmatan kaunseling, kita turut datangkan para penceramah dari luar negara seperti Kedutaan Perancis, Thailand, Indonesia dan Brunei,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas penutup ICEC 2023 di sini kelmarin.
Persidangan yang berlangsung selama dua hari itu membawa tema ‘Karamah Insaniah; Tunjang Kesejahteraan Warga Pendidik ke Arah Membangun Malaysia Madani’ dan dirasmikan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
ICEC merupakan platform perkongsian profesional tahunan yang dihadiri oleh semua kaunselor pendidikan dari Bahagian Psikologi dan Kaunseling, Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, Institut Pendidikan Guru Malaysia, Institut Pendidikan Guru Kampus, Bahagian Matrikulasi, Kolej Matrikulasi termasuk guru bimbingan dan kaunseling.
Ia turut mengumpulkan pakar dan pengamal dalam bidang perkhidmatan kaunseling dan psikologi bagi tujuan perkongsian ilmu pengetahuan dan kepakaran dalam menyediakan perkhidmatan yang lebih efisien dan kontemporari.
Sempena persidangan itu, Fadhlina turut meluncurkan enam dokumen berkaitan iaitu:
i. Pelan Pembangunan Kompetensi Kaunselor Pendidikan Serta Guru Bimbingan dan Kaunseling
ii. Buku Panduan Intervensi Krisis
iii. Modul Pelaksanaan Intervensi Krisis
iv. Pelan Strategik Perkhidmatan Psikologi Kaunseling KPM 2023/2025
v. Panduan Perkhidmatan Psikologi dan Kaunseling KPM
vi. Kit Pasca Insiden Bunuh Diri Talian
Kesemua dokumen tersebut penting bagi memastikan persediaan berhadapan pelbagai kemungkinan.
Dalam pada itu, Salmiah berkata, KPM masih berusaha untuk menambah bilangan guru kaunseling bagi menampung jumlah pelajar yang ramai.
“Sebenarnya kita masih bekerja ke arah itu, kita bantu mana yang kita nampak ada keperluan. Setakat ini, kita dapat laksanakan perkara-perkara yang menjadi keperluan seperti saringan minda sihat dalam kalangan murid untuk diberikan intervensi yang diperlukan.
“Guru kaunseling juga ada melaksanakan program-program pembangunan dan pencegahan untuk penguasaan motivasi belajar dan kesejahteraan mental,” ujarnya.
Mengulas lanjut berhubung ICEC 2023, Salmiah berharap impak daripada persidangan tersebut dapat diterjemahkan dalam bentuk inovasi oleh kaunselor pendidikan dengan mengaplikasikannya pada persidangan akan datang.
Beliau juga percaya dapatan yang dikongsikan oleh para penceramah dari luar negara itu mampu menjadi cetusan idea kepada kaunselor pendidikan serta guru kaunseling untuk meneroka perkara-perkara baharu.
“Dalam satu-satu program kita akan lihat ‘outcome’ dan impak, jadi, saya sangat berharap akan ada kesinambungan daripada apa yang mereka peroleh pada persidangan kali ini yang mungkin mereka boleh terjemahkan dalam bentuk inovasi dan lakukannya pada tahun hadapan.
“Begitu juga dengan penulisan dan penyelidikan yang akan mereka laksanakan. Saya percaya dalam input yang diberi pada persidangan kali ini ada fakta-fakta baharu yang dikongsikan oleh penceramah daripada luar negara. Ini mungkin akan menjadi cetusan kepada kaunselor pendidikan dan guru kaunseling untuk meneroka perkara-perkara baharu tersebut,” katanya. – UTUSAN