Ibu tunggal warga emas gembira rumah usangnya dibaiki

Ibu tunggal warga emas gembira rumah usangnya dibaiki oleh ATM

Mohd. Yahya Mohd. Amin menunjukkan rumah Norizan Talib yang baru dibaiki di bawah Program Jiwa Murni Kementerian Pertahanan di Jalan Kapar, Klang. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Seorang ibu tunggal bersyukur apabila rumahnya yang daif terpilih untuk dibaiki melalui Program Jiwa Murni yang dianjurkan oleh Kementerian Pertahanan.

Norizan Talib, 60, berkata, rumahnya usang dan banyak kerosakan pada dinding seperti berlubang dan sebagainya sehingga menyebabkan kerap kali dimasuki haiwan berbisa seperti ular yang mengancam nyawanya.

Menurutnya, dia tidak mampu untuk membaiki kerosakan tersebut kerana anak lelakinya berusia 25 tahun belum mendapat pekerjaan sementara anak perempuan berusia 21 tahun pula baru mula bekerja.

“Memang amat bersyukur apabila Kementerian Pertahanan sanggup membantu ibu tunggal yang tidak berkemampuan seperti saya dan ia mat melegakan kami sekeluarga.

“Anggota Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) telah membantu baik pulih struktur rumah seperti menampal lubang-lubang di dinding sebab dulu kerap sangat ular berbisa, ular sawa masuk rumah. Selain itu, mereka turut membantu membuat pendawaian semula, terima kasih banyak-banyak,” katanya ketika ditemui di Kampung Sementa, Jalan Kapar, Klang, semalam..

Selain Norizan, turut menerima bantuan daripada program sama ialah pasangan suami isteri, Azidah Mat Lazim, 57, dan suaminya, Azhar Ishak, 59, yang juga tinggal di kawasan sama.

PENERIMA bantuan Program Jiwa Murni (PJM) Kementerian
Pertahanan, Azidah Mat Lazim menunjukkan rumahnya yang baru
diperbaiki oleh Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD).

“Saya dan suami amat berterima kasih kepada ATM membaiki rumah berusia 40 tahun ini yang menjadi tempat saya membesarkan lima orang anak yang kini sudah pun berkeluarga,” ujarnya.

Menurutnya, dia tidak menyangka program tersebut boleh dipohon oleh golongan B40 sepertinya walaupun bukan dalam kalangan anggota tentera.

Sementara itu anggota RAJD Kem Batu Kentonmen yang menyelaras program berkenaan, Staf Sarjan Mohd.Yahya Mohd.Yatim memberitahu, seramai 15 anggota terlibat memperbaiki kedua-dua rumah penerima bantuan itu.

“Untuk rumah Azidah seramai lima anggota terlibat. Bagi rumah Norizan pula kerja baik pulihnya agak berat dan memerlukan 10 anggota. Alhamdulillah dalam masa singkat kedua-dua rumah dapat disiapkan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya