BALING: Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, seorang ibu tunggal yang menjadi antara mangsa banjir di Kupang dekat sini bukan sahaja terpaksa bangkit untuk mengatur semula kehidupan malah terpaksa mencari wang untuk membeli mesin jahit yang menjadi mata pencariannya.
Ramlah Abdullah, 58, yang tinggal di Kampung Bendang Padang berkata, Ini kerana mesin jahit miliknya itu antara barangan yang rosak akibat ditenggelami banjir yang melanda kawasan itu pada Rabu lalu.
“Semasa banjir sebelum ini mesin jahit saya sudah rosak kerana tenggelam dalam air juga, selepas itu ada seorang guru yang menghadiahkan mesin pemberian kawannya kepada saya untuk meneruskan kerja-kerja mengambil upah menjahit.
“Kini mesin tersebut juga rosak kerana air masuk ke dalam rumah sehingga mencecah paras kepala,” katanya ketika ditemui semalam.
Ramlah berkata, dia mengharapkan ada pihak yang sudi membantu mendapatkan mesin baharu selepas ini bagi membolehkan dia menjahit semula untuk menampung kehidupan mereka sekeluarga.
Menurutnya, untuk membeli peralatan tersebut adalah di luar kemampuannya apatah lagi banyak barangan lain turut rosak akibat banjir tersebut.
Dalam kejadian kali ini, hujan lebat sejak pukul 4 petang hingga ke malam menyebabkan air Sungai Kupang naik mendadak dan melimpahi tebing sebelum masuk ke rumah Ramlah sekitar pukul 7.30 malam.
Katanya, dia menyangkakan air hanya setakat paras pinggang, namun banjir terus melepasi paras kepala yang menjadikan antara bencana yang paling teruk dihadapi mereka.
Sementara itu jirannya, Rahim Karim, 55, pula berkata, banjir merosakkan pelbagai barangan elektrik di rumahnya seperti peti sejuk, mesin basuh, kipas angin, televisyen dan ketuhar yang disumbangkan pelbagai pihak sebelum ini.
“Tilam, bantal, pakaian dan barangan-barangan lain pun dipenuhi lumpur walaupun kami sudah letak di bahagian lebih tinggi sebelum keluar menyelamatkan diri bersama isteri dan anak-anak,” katanya.-UTUSAN