PETALING JAYA: Hubungan pelaburan dan perdagangan khususnya bidang petroleum antara Malaysia dan Arab Saudi terus dipertingkatkan menerusi penubuhan jawatan kuasa bersama yang bakal diwujudkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa kerjasama erat itu pasti membawa pulangan yang bermanfaat buat negara dan rakyat.
Katanya, beliau mengadakan mesyuarat bersama syarikat gergasi petroleum dan gas asli Aramco di Riyadh, Arab Saudi.
“Delegasi dari pihak Aramco diwakili Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Aramco, Amin H. Nasser dan beliau turut diapit Menteri Perdagangan Arab Saudi, Dr Majid Abdullah Al Qasabi serta delegasi.
“Perbincangan tertumpu pada hubungan pelaburan dan perdagangan antara kedua-dua negara dan hubungan ini diperteguh melalui penubuhan Jawatankuasa bersama yang akan ditubuhkan,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, Anwar juga mengadakan pertemuan dengan pemimpin syarikat dan firma ternama Malaysia dan Arab Saudi yang menjalinkan kerjasama perdagangan dan pelaburan.
Antaranya ialah Saudi Aramco, Dagang NeXchange Bhd (DNeX), Ajlan & Bros Holding Group, MGB Bhd, Alameriah Real Estate Development, Mobility One Sdn Bhd, Al-Nesma Holding Co Ltd dan SARH.
Anwar kemudian menyaksikan pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) antara Westar Aviation dan Mukamalah; DNEX dan Ajlan Bros; Twistcode dan Ajlan Bros; serta MGB dan Sany Alameria.
Perdana Menteri turut menerima kunjungan hormat Gabenor Public Investment Fund Arab Saudi, Yasir Al-Rumayyan untuk membincangkan prospek kerjasama dalam bidang pelaburan.
Anwar tiba di Riyadh sejak Khamis lalu bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pertama Asean-Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
Dalam pada itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Malaysia dan Arab Saudi bersetuju membentuk sebuah jawatan kuasa peringkat menteri bagi membawa jalinan kerjasama perdagangan, pelaburan dan ekonomi kedua-dua negara ke tahap baharu.
Katanya, perkara itu diputuskan dalam pertemuan Anwar bersama Majid Abdullah.
Jawatankuasa itu akan memantau perkembangan perdagangan, pelaburan dan ekonomi antara kedua-negara serta prospek kerjasama pada masa akan datang.-UTUSAN









