Hospital KPJ Ipoh pusat pakar pesakit strok pertama di Perak - Utusan Malaysia

Hospital KPJ Ipoh pusat pakar pesakit strok pertama di Perak

SAARANI Mohamad (tiga dari kanan) melihat mesin pemecut elekta versa HD pada perasmian pusat pakar pesakit strok di Hospital Pakar KPJ Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Hospital Pakar KPJ Ipoh di sini menjadi hospital pertama yang mempunyai pusat pakar bagi pesakit strok yang pertama di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad yang merasmikan pusat tersebut berkata, pusat pakar itu mempunyai pakar perubatan yang berpengalaman dan mahir dalam bidang pengurusan pesakit strok meliputi pakar kecemasan, neurologi, pembedahan neuro, rehabilitasi dan pegawai fisioterapi yang terlatih.

“Hospital ini hospital pakar pertama yang mempunyai mesin pemecut linear model elekta versa HD iaitu mesin yang berkeupayaan membunuh sel-sel kanser dengan lebih tepat dan pantas.

“Selain pusat strok yang diwujudkan di Hospital Pakar KPJ Ipoh, kerajaan negeri juga sedang mengikut rapat perkembangan pembangunan Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Cybernics Kebangsaan di Meru Raya di sini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Pelancaran Pusat Strok Hospital Pakar KPJ Ipoh di sini hari ini.

Menurut Saarani, Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Cybernics Kebangsaan yang sedang dibangunkan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Bandar Meru Raya akan menjadi pusat sehenti bagi rawatan pemulihan strok.

“Pusat ini bukan sahaja akan memberikan rawatan kepada pesakit strok di negeri Perak malah dari seluruh Malaysia,” katanya.

Saarani berkata, melihatkan pertambahan jumlah hospital swasta di negeri ini yang menawarkan kepakaran dalam beberapa bidang khusus, hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Perak sebagai hab pelancongan kesihatan berada pada landasan yang betul.

Menurutnya, setakat ini terdapat tujuh hospital swasta yang beroperasi termasuk Hospital Pakar KPJ Ipoh di bandaraya ini.

“Kita menjangkakan pertambahan tiga lagi hospital swasta akan siap dibina dan beroperasi dalam masa terdekat antaranya Pusat Perubatan Sunway di Tambun, Quill Medical Centre di Jalan Sultan Nazrin Shah yang sedang dalam pembinaan manakala Hospital Seri Botani baru saja memulai operasinya Mac lalu,” katanya.

Menurutnya, dengan penambahbaikan atau produk baharu termasuk khidmat rawatan baru yang diperkenalkan oleh Hospital Pakar KPJ Ipoh, ini mampu mempromosikan pelancongan kesihatan di negeri ini.

“Kita boleh promosikan mesin pemecut linear model Elekta Versa HD yang akan menarik perhatian pesakit dari luar Ipoh atau di luar daripada Perak untuk datang ke sinibagi mendapatkan rawatan.

“Saya percaya KPJ akan menambah baik inovasi dan kreativiti rawatan yang ditawarkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya