KUALA LUMPUR: Pengarang buku ‘Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia’, Kean Wong berkemungkinan dibebaskan sebaik sahaja siasatan polis selesai.
Kean Wong dipercayai direman selama sehari bagi membantu siasatan selepas ditahan semalam ketika memperbaharui pasport di Pejabat Imigresen Kelana Jaya kerana dipercayai menghina jata negara yang disiasat sejak 2020.
Peguam, Ivan Teng berkata, dia difahamkan oleh pihak polis bahawa Kean Wong mungkin dibebaskan hari ini berikutan tempoh reman bermula sebaik anak guamnya ditahan semalam.
“Pihak polis membuat permohonan reman atas tiga alasan iaitu untuk merakam keterangan, mengumpul data, mesej dari tempoh tiga tahun lalu pada telefon bimbit dan mengambil cap jari serta gambar.
“Secara realistik, semua perkara itu sepatutnya dapat dilakukan dalam tempoh dua ke tiga jam, mereka (polis) optimistik dapat disiapkan hari ini,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini hari ini.
Menurutnya, pihak polis meminta mereka menyediakan penjamin sekiranya proses rakaman percakapan selesai dan Kean Wong dibebaskan hari ini.
“Kami dimaklumkan bahawa mereka (polis) sedang menanti penyiasat daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
“Difahamkan, penyiasat SKMM diperlukan untuk proses pengumpulan data dan perolehan username dan kata laluan yang berkaitan dengan siasatan itu,” katanya
Ditanya mengenai keadaan Kean Wong ketika ini dalam tahanan, Ivan berkata, anak guamnya itu berada dalam keadaan baik walaupun mengalami alahan dan digigit serangga di lokap.
Pada 10 Julai 2020, Bekas Ketua Polis Negara ketika itu Tan Sri Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata, polis sedang mengesan Kean Wong bagi membantu siasatan berhubung kontroversi kulit buku berkenaan.
Menurutnya, siasatan berhubung penerbitan buku itu dimulakan sejak 29 Jun 2020 susulan beberapa laporan polis diterima daripada pelbagai pihak di seluruh negara.
Polis turut merakam keterangan beberapa individu termasuk pelukis, penerbit dan pencetak buku berkenaan.
Ketika siasatan dijalankan, Kean Wong dilaporkan berada di Australia dan polis memaklumkan dia memegang status Pemastautin Tetap (PR) Australia sejak lebih 10 tahun lalu.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama 2016, Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 8(1) Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.-UTUSAN