PUTRAJAYA: Pempengaruh, Eira Aziera gagal mengetepikan keputusan mahkamah yang mengarahkannya untuk membayar ganti rugi RM100,000 kerana menghina bentuk tubuh dan melakukan buli siber terhadap seorang pesuruhjaya sumpah menerusi Facebook Live, tiga tahun lalu.
Pada 13 Oktober 2020, Suharnizan Md. Sidek memfailkan saman menuntut ganti rugi RM2 juta terhadap Eira Aziera di Mahkamah Tinggi Johor Bahru yang didakwa memfitnah dan melakukan penghinaan terhadap bentuk fizikalnya dengan menyamakan fizikal dengan haiwan.
Pada 13 Jun 2022, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Eira Aziera memfitnah Suharnizan dan mengarahkan pempengaruh itu membayar ganti rugi RM100,000 dan kos sebanyak RM30,000.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Seri Kamaludin Md. Said dan bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S.M. Komathy Suppiah sebulat suara memutuskan bahawa rayuan Eira Aziera atau nama sebenarnya, Noorazira Pissal tidak mempunyai sebarang merit.
“Selepas mempertimbangkan segala hujahan, kami bersetuju bahawa Hakim Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf apabila memutuskan bahawa kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh perayu (Eira Aziera) adalah fitnah. Perkataan-perkataan yang diucapkan adalah jelas dan tiada keperluan untuk memanggil pakar.
“Berdasarkan rekod-rekod rayuan yang diteliti, elemen-elemen (fitnah) lain juga dibuktikan. Sehubungan itu, kami sebulat suara mendapati tiada merit dalam rayuan perayu berhubung liabiliti.
“Hakim Mahkamah Tinggi tidak membuat sebarang kekhilafan dalam dapatannya. Sehubungan itu, rayuan berhubung liabiliti ditolak dan dapatan Hakim Mahkamah Tinggi dikekalkan. Kos ditetapkan sebanyak RM10,000,” kata Hakim Ahmad Zaidi ketika membaca penghakiman ringkas panel terbabit pada prosiding yang dijalankan secara dalam talian.
Sementara itu, berhubung rayuan balas Suharnizan yang merupakan responden dalam rayuan hari ini, panel terbabit turut memutuskan bahawa rayuan itu tidak mempunyai sebarang merit.
Suharnizan memfailkan rayuan balas itu selepas tidak berpuas hati dengan jumlah RM100,000 yang ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru yang didakwa tidak mencukupi.
“Berhubung rayuan ini, selepas meneliti alasan-alasan penghakiman Hakim Mahkamah Tinggi berhubung kuantum (ganti rugi), kami dapati jumlah yang ditaksirkan adalah munasabah. Ia tidak keterlaluan atau tidak mencukupi. Hakim Mahkamah Tinggi juga mengambil kira faktor buli siber dan hina bentuk tubuh. Oleh itu, kami mendapati rayuan balas berhubung kuantum tidak mempunyai sebarang merit.
“Kuantum (yang ditetapkan sebelum ini) dikekalkan. Rayuan balas ditolak dengan kos RM10,000,” kata Hakim Ahmad Zaidi.
Laporan media sebelum ini melaporkan, Suharnizan membuat komen ‘live masak, live makan-makan, letak produk kurus, boleh kurus ke?’ menerusi video secara langsung sebelum dikongsikan rakannya dalam Facebook Eira Aziera.
Pada 14 September 2020, Suharnizan dimaklumkan mengenai satu paparan video dimuat naik dan dikongsikan di media sosial oleh pentadbir laman FB yang menggunakan nama ‘Makcik Bawang Channel’ dan ‘Makcik Kiah Channel’ dengan kandungan video Eira Aziera selama lapan minit memaparkan antara lain menghina rupa fizikalnya sehingga tular mencapai ribuan pautan serta komen.
Video terbabit turut memaparkan gambar Suharnizan bersama anak-anaknya.
Tindakan wanita itu mendapat kecaman ramai sebelum Eira Aziera tampil memohon maaf atas perbuatannya dan mendakwa gagal mengawal emosi serta menjaga tutur kata sehingga menyebabkan ramai pihak tersinggung.
Pada 15 September 2020, Suharnizan membuat laporan berhubung perkara tersebut di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, di sini sebelum memfailkan tuntutan saman.-UTUSAN