Hilang tangan kiri, Faedah HUS Perkeso legakan Muralitaran

Hilang tangan kiri, Faedah HUS Perkeso legakan Muralitaran

M. Muralitaran menerima replika cek disampaikan Ngwe Hee Sem pada Program Perkeso Mendekati Media dan Inisiatif SPS Padanan Caruman di sebuah hotel di Jalan Hang Tuah, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Tragedi dihempap besi pada 12 Ogos lalu sehingga menyebabkan tangan kiri terpaksa dipotong menjadi titik hitam buat seorang penyelia syarikat elektrik, M. Muralitaran, 24, sepanjang hidupnya.

Ketika ditemui Utusan Malaysia, Muralitaran berkata, dia tidak pernah terfikir bakal ditimpa kecelakaan sedemikian terutama semasa bekerja, namun, caruman dibuat dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sedikit sebanyak melegakannya.

Ujarnya, kemalangan berlaku kira-kira pukul 11 pagi semasa dia ditugaskan menghantar mesin pembancuh simen ke sebuah syarikat di Gemencheh, Negeri Sembilan.

“Sampai di lokasi, saya keluar dari lori, namun, tiba-tiba besi jenis H Beam menghempap saya. Tangan kiri alami kecederaan parah sehingga terpaksa dipotong dari paras lengan.

“Memang tidak pernah terfikir akan berdepan situasi malang ini, tugas saya ke situ adalah menghantar mesin pembancuh simen sahaja. Namun, malang memang tidak berbau.

“Ketika itu, mesin pembancuh simen berada di atas forklift. Ketika dalam proses pemindahan dari lori, ia terlanggar besi itu dan kemudian jatuh menghempap saya,” katanya ketika ditemui pada Program Perkeso Mendekati Media dan Inisiatif SPS Padanan Caruman di sebuah hotel di Jalan Hang Tuah di sini.

Muralitaran menerima Faedah Hilang Upaya Sementara (HUS) daripada Perkeso berjumlah RM2,010.66 disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Melaka, Ngwe Hee Sem.

Tambah Muralitaran, selain kehilangan tangan kiri, tragedi itu turut mengakibatkan kecederaan pada muka dan belakang badannya.

Tegasnya, dia menasihatkan orang ramai agar tidak ambil mudah akan kepentingan mencarum dengan Perkeso meskipun bekerja sendiri kerana kemalangan boleh berlaku tanpa diduga.

“Jangan anggap caruman Perkeso ini sebagai satu bebanan terutama mereka yang bekerja sendiri kerana ia adalah salah satu bentuk perlindungan. Jumlah caruman tidaklah terlalu mahal untuk setahun, namun, faedahnya besar jika terlibat kemalangan,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya