KUALA LUMPUR: “Kalau tak menyanyi, nak bagi anak isteri makan apa? Hidup perlu diteruskan”.
Demikian jawapan legenda rock, Datuk Awie ketika ditanya berhubung desakan segelintir pihak yang mahu aktiviti hiburan dihentikan sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Gaza, Palestin.
Jelas Awie, sebagai ketua keluarga, dia juga harus meneruskan kehidupan dan tetap menjalankan aktiviti seni demi mencari pendapatan menyara keluarga.
“Ada yang pertikai, rakyat Gaza, Palestin sedang berperang, kita di sini menyanyi? Tetapi kalau tak menyanyi, macam mana nak cari rezeki? Nak beri makan, anak ke sekolah?
“Kita teruskan kehidupan seperti biasa. Tetapi dalam masa yang sama hati dan jiwa kita sentiasa ada untuk mereka di sana. Tak putus doa untuk mereka.
“Sebab itu, saya dan Wings bakal mengadakan acara untuk mempamerkan solidariti, sokongan dan doa kita untuk mereka yang ketika ini sedang menderita di sana,” kongsinya.
Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman berkata demikian selepas melancarkan Konsert Wings: The Rock Emperor di sini hari ini.
Konsert yang bakal berlangsung pada 16 Disember itu diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam.
Penyanyi yang juga vokalis Wings itu turut mengumumkan acara prihatin terhadap rakyat Gaza, Palestin yang kini tertindas akibat kekejaman regim Zionis.
Bakal berlangsung pada 13 November ini, Awie berkata, acara Solidariti Ride Wings Motorgang Society itu bakal diadakan di satu lokasi yang akan diumumkan kelak.
“Tak perlu tunggu konsert untuk pamer perhatian dan solidariti terhadap rakyat Gaza. Kami sendiri sudah merancang acara tersebut, lokasi sahaja belum ditetapkan.
“Bukan wang ringgit menjadi ukuran tetapi sokongan, solidariti dan nyawa yang kita berikan kepada mereka. Itu penting juga.
“Setakat ini, kita ada 300 ahli bermotorsikal yang bakal sama-sama berkonvoi, solat hajat dan menyatakan pendirian kita terhadap rakyat Gaza,” katanya. – UTUSAN