PONTIAN: Kerosakan jalan raya dari Jambatan Sungai Pulai menuju ke Pontian adalah di bawah tanggungjawab pemaju projek Seaport Worldwide Sdn.Bhd dan bukan di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Kukup, Datuk Jefridin Atan berkata, situasi tersebut menimbulkan banyak kekeliruan sehingga orang ramai memuat naik perasaan marah dan kecewa dalam media sosial.
Katanya, beliau difahamkan jalan tersebut belum diserahkan kepada JKR Johor dan hanya dapat dilakukan pada tahun hadapan kerana masih ada lagi tempoh kecacatan dan sebagainya.
Bagaimanapun, katanya, sebelum proses pengambilalihan, pihaknya meminta mana-mana kerosakan yang masih ada perlu diperbaiki segera supaya tidak timbul masalah kepada pengguna.
“Kami memahami kebimbangan dan keresahan pengguna yang melalui jalan tersebut setiap hari untuk bekerja di Gelang Patah dan Johor Bahru, begitu juga sebaliknya ke Tanjung Piai dan Pontian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Penanaman Pokok Peringkat Daerah Pontian di Jambatan Sungai Pulai yang dirasmikan oleh Pegawai Daerah Pontian, Zainal Eran, disini, pagi ini.
Bagi peringkat daerah Pontian, sebanyak 15,000 pokok bakau berjaya ditanam melibatkan 500 sukarelawan daripada jabatan kerajaan, agensi swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Tambah Jefridin, perkara tersebut (kerosakan jalan raya) dibawa ke Mesyuarat Tindakan Pejabat Daerah Pontian sebelum beberapa jalan penyelesaian dapat dilakukan melibatkan kedua-dua belah pihak.
“Selain pekerja, laluan Jambatan Sungai Pulai kini menjadi tumpuan penggiat berbasikal dari Johor Bahru dan Singapura untuk ke Tanjung Piai terutama pada hujung minggu dan cuti umum.
“Keselamatan pengguna perlu diberi keutamaan kerana dilaporkan terdapat kemalangan kecil melibatkan penunggang motosikal dan pemandu kereta disebabkan jalan yang beralun dan berlubang,” ujarnya.
Katanya, ekoran perbincangan tersebut, kerja-kerja penyelenggaraan jalan dilakukan oleh pihak pemaju beberapa bulan lalu dan berharap perkara yang sama tidak akan berulang kembali.
Beliau memberitahu, selepas penyerahan projek itu pada tahun hadapan, pemantauan hendaklah selalu dilakukan memandangkan jalan raya ini dilalui oleh pelbagai jenis kenderaan berat ke kawasan Perindustrian Tanjung Bin ( PTB )
Selain masalah kerosakan jalan, cadangan pembinaan lampu isyarat di persimpangan empat Kampung Chokoh perlu disegerakan bagi mengelakkan berlakunya kemalangan jalan raya di kawasan tersebut. -UTUSAN