Henti politikkan isu Minggu Solidariti Palestin - Wanita PKR Pulau Pinang - Utusan Malaysia

Henti politikkan isu Minggu Solidariti Palestin – Wanita PKR Pulau Pinang

NURHIDAYAH CHE ROSE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUKIT MERTAJAM: Wanita PKR Pulau Pinang mahu semua pihak berhenti mempolitikkan isu penganjuran Minggu Solidariti Palestin ketika ini.

Ketuanya, Nurhidayah Che Rose berkata, sebaliknya pihak tersebut perlu membuat penelitian sewajarnya terlebih dahulu sebelum menghentam Kementerian Pendidikan (KPM) dan Menterinya, Fadhlina Sidek berhubung isu tersebut.

Pada masa sama, kata Nurhidayah, pihaknya menzahirkan rasa kecewa dengan sikap segelintir pemimpin dan ahli politik yang bertindak mengeluarkan kenyataan dengan menggunakan terma-terma berbaur negatif tanpa memahami terlebih dahulu niat sebenar KPM dalam mengambil alih sambutan program sedemikian.

“Kenyataan-kenyataan yang tidak bertanggungjawab itu hanya akan membuka jalan kepada sesetengah pihak yang juga tidak bertanggungjawab untuk mempolitikkan isu kemanusiaan ini.

“Harus diingatkan usaha KPM di bawah pimpinan Fadhlina Sidek ini selaras dengan intipati Perlembagaan Parti Keadilan Rakyat khususnya Fasal 5 yang menjelaskan tentang tujuan dan matlamat perjuangan.

“Ia menjelaskan tentang perkara 5.9 iaitu mempertingkatkan kemuliaan insan, nilai keehsanan serta budaya ikram, menegakkan hak asasi manusia, berpegang teguh kepada prinsip integriti dan akauntabiliti dalam bidang ekonomi, politik dan pentadbiran dan lain-lain,” katanya di sini, hari ini.

Jelas Nurhidayah, harus ditegaskan juga anak-anak di era kini lebih terdedah kepada isu-isu terkini termasuk isu-isu global.

Malah, katanya, anak-anak dari Malaysia juga tular di seluruh dunia baru-baru ini dengan usaha mereka yang bersolidariti secara virtual untuk Palestin di sebuah platform permainan dalam talian iaitu ‘Roblox’.

“Jadi, adilkah sekiranya kerajaan Malaysia melalui KPM hanya mendiamkan diri dalam usaha memupuk semangat dan nilai kemanusiaan yang mekar dalam diri anak-anak bangsa?” soal beliau.

Sehubungan itu, katanya, Wanita PKR negeri berpendapat, KPM dan Fadhlina khususnya tidak perlu tunduk dengan gesaan-gesaan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya