KUCHING: Seorang pesara tentera ditemukan meninggal dunia ketika mencari rebung di dalam hutan di Taman Perpaduan @ Reservoir Park, di sini hari ini.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak memaklumkan, mangsa, Kamarau Adong, 50, dijumpai oleh Unit Drone PDRM dalam keadaan tidak sedarkan diri sekitar pukul 10.30 pagi.
“Isteri mangsa memaklumkan suaminya gagal keluar dari kawasan berkenaan itu semalam sebelum membuat laporan polis. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) giat dijalankan di sekitar kawasan itu selepas dimaklumkan berhubung kejadian pada pukul 8:20 malam tadi.
“Selepas operasi disambung semula pagi ini, mangsa ditemukan dua meter dari sisi jalan di dalam semak. Mangsa dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal di lokasi kejadian oleh petugas kesihatan,” katanya hari ini. – UTUSAN