Harimau kubang jantan ditangkap masuk perangkap Perhilitan - Utusan Malaysia

Harimau kubang jantan ditangkap masuk perangkap Perhilitan

SEEKOR harimau kumbang jantan yang berjaya ditangkap selepas memasuki perangkap Perhilitan di Ladang Kelapa Sawit Putra North, Hulu Kemaman, Kemaman, kelmarin. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Seekor harimau kumbang jantan berjaya ditangkap selepas memasuki perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman (Perhilitan) Terengganu di Ladang Kelapa Sawit Putra North, Hulu Kemaman, di sini, kelmarin.

Pengarahnya, Loo Kean Seong berkata, perangkap dengan umpan ayam itu dipasang kira-kira pukul 4 petang pada Selasa, sebelum haiwan liar yang dianggarkan seberat 30 kilogram itu berjaya memasuki perangkap kira-kira 11.40 malam, pada hari sama.

“Kita menerima aduan daripada pengurus ladang berkenaan pada hari Ahad, selepas harimau kumbang itu dikesan berkeliaran di sekitar ladang tersebut sejak beberapa hari lalu.

“Kemudiannya, kita segera menggerakkan pasukan Perhilitan untuk melakukan siasatan sebelum tindakan memasang perangkap dilakukan dan usaha itu berjaya selepas harimau kumbang itu masuk perangkap kurang lapan jam kemudian,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Kean Seong berkata, ketika ditangkap, haiwan liar itu berada dalam keadaan sihat.

Beliau memberitahu, harimau kumbang itu telah dibawa keluar dari ladang tersebut kira-kira pukul 11 pagi semalam.

“Haiwan itu kemudian dilepaskan kembali ke kawasan hutan simpan yang bersesuaian di negeri ini bagi memastikan kemandirian spesies tersebut,” ujarnya.

Dalam pada itu, Kean Seong meminta orang ramai supaya bertindak melaporkan segera kepada Perhilitan sekiranya terdapat kehadiran haiwan liar di kawasan mereka supaya tindakan segera menyelamatkan haiwan liar itu atau mitigasi dapat diambil. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya