BUKIT MERTAJAM: Hampir 100 orang penduduk di beberapa buah perkampungan di bawah Majlis Pembangunan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Minyak memeriahkan program Perayaan Kuih Bulan dan perarakan tanglung, di Taman Sentul Jaya, sini baru-baru ini.
Pengerusi MPKK Bukit Minyak, Chew Chin Ewo berkata, program tersebut turut melibatkan para penduduk yang juga terdiri daripada golongan ibu bapa, warga emas, kanak-kanak serta kanak-kanak istimewa dari Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Bukit Minyak.
“Hampir 100 orang penduduk di bawah MPKK Bukit Minyak telah menyertai program ini yang bermula sejak pukul 5 petang dan sambutan yang kita terima adalah begitu positif.
“Malah, acara kemuncak program ini iaitu perarakan tanglung mengelilingi Taman Sentul Jaya turut disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat termasuk Melayu, Cina dan juga India tanpa mengira usia.
“Ini menunjukkan bahawa perpaduan yang diamalkan MPKK di sini begitu harmoni malah setiap kali adanya program kemasyarakatan mahupun program komuniti, penduduk di bawah kelolaan MPKK Bukit Minyak akan turut serta dan semestinya penglibatan ini diharap akan berterusan sampai bila-bila,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
![](https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/2023/10/f914e336-1fa4-4c51-aa87-bc3fc946bdae-600x450.jpg)
Terdahulu, program tersebut turut disertai wakil Pejabat Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Aiman Fashehah Ahmad, 33, yang juga Pegawai Seranta bagi ADUN kawasan tersebut, Gooi Hsiao Leung yang kini berada di luar kawasan.
Aiman Fashehah berkata, penglibatan masyarakat pelbagai kaum terhadap program komuniti mahupun kemasyarakatan dilihat sebagai indikator dalam menentukan sesebuah kelompok yang mampu hidup secara harmoni dan tanpa prejudis.
“Melalui penganjuran program seumpama ini, saya dapat simpulkan bahawa akar umbi sesebuah majlis komuniti yang ampuh dan bersatu padu akan mencerminkan perpaduan dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum seperti yang saya lihat dalam program ini sejajar dengan konsep Malaysia Madani.
“Malah, dalam komuniti yang kecil, dengan bajet yang terhad, pengisian dan penglibatan komunitinya sedikit sebanyak telah memberi impak yang besar terhadap ikatan masyarakatnya yang hidup sejahtera dan harmoni tanpa mengira latar belakang agama mahupun bangsa,” katanya.
Antara pengisian program termasuklah pertandingan melukis dan mewarna bagi kanak-kanak termasuk kanak-kanak istimewa, persembahan seni mempertahankan diri taekwondo, persembahan badut serta jamuan secara percuma kepada penduduk setempat. – UTUSAN