Hadkan aktiviti luar sekolah di Bukit Rambai

Hadkan aktiviti luar sekolah di Bukit Rambai

SITUASI jerebu adalah terkawal dan jarak penglihatan juga baik di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bukit Rambai, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) diminta mengehadkan aktiviti luar sekolah selepas indeks pencemaran udara (IPU) di kawasan Bukit Rambai di sini mencatatkan bacaan tinggi sejak minggu lalu.

Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar Bukit Rambai mendapati, situasi jerebu tidak serius, tiada bau asap dan jarak penglihatan adalah baik.

Bagaimanapun, bagi Mohd. Sabri Sulaiman, 41, dua daripada tiga anaknya yang bersekolah darjah dua dan empat mula mengalami simptom gatal tekak.

Katanya, keadaan cuaca yang panas memburukkan lagi keadaan ditambah pula aktiviti luar yang masih diteruskan.

“Pada pandangan saya sekolah tidak perlu ditutup, cuma perlu hadkan sahaja aktiviti luar termasuk perhimpunan pagi. Tangguh dahulu sehingga keadaan kembali pulih.

“Bacaan IPU di Bukit Rambai adalah yang tertinggi di Malaysia sejak minggu lalu, seharusnya telah ada usaha untuk mengurangkan risiko penyakit bawaan jerebu kepada pelajar khususnya di kawasan ini,” katanya ketika ditemui.

Sebelum ini, akhbar melaporkan Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, pihak sekolah perlu sentiasa memantau kualiti udara dan bacaan IPU melalui laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Menurutnya, berdasarkan garis panduan Kementerian Pendidikan, jika bacaan IPU melebihi 100 tiada sebarang aktiviti luar boleh dilaksanakan manakala sekolah akan ditutup dan pembelajaran perlu dilakukan secara dalam talian apabila IPU melebihi 200.

Semakan melalui Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) setakat pukul 1 tengah hari mendapati, Bukit Rambai mencatatkan bacaan IPU tidak sihat iaitu 154.

Sementara itu, pandangan sama turut disuarakan Sani Mokhtar, 49, yang mahu aktiviti kokurikulum ditangguhkan sementara waktu.

Katanya, dia dimaklumkan oleh tiga anaknya yang bersekolah di tingkatan lima, empat dan darjah lima bahawa aktiviti luar seperti perhimpunan masih berjalan seperti biasa.

“Kalau lihat situasi jerebu ketika ini tidaklah membimbangkan tetapi langkah pencegahan awal harus diambil pihak berwajib. Tidak perlu tutup sekolah kerana sesi persekolahan sudah hampir tamat, cuma saya harap kurangkan aktiviti luar.

“Mujur anak saya tidak menunjukkan simptom penyakit bawaan jerebu, namun saya tetap bimbang dan menasihati mereka agar kerap minum air,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya