Guru wanita rugi RM236,300 diperdaya 'Datuk Samsul Anwar' - Utusan Malaysia

Guru wanita rugi RM236,300 diperdaya ‘Datuk Samsul Anwar’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Seorang guru wanita kerugian RM236,300 selepas terpedaya sindiket penipuan panggilan telefon atau phone scam yang menyamar sebagai pegawai polis dikenali ‘Datuk Samsul Anwar’.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, penipuan bermula pada 30 Ogos lalu apabila wanita berusia 52 tahun itu menerima panggilan telefon daripada individu yang memperkenalkan diri daripada Pos Laju Melaka.

Katanya, individu berkenaan mendakwa mangsa ada membuat penghantaran barangan yang tidak sampai kepada penerima di mana mengandungi barang salah dan terlarang.

“Mangsa menafikan dakwaan itu dan diminta membuat laporan polis sebelum panggilan telefon disambungkan ke Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.

“Mangsa telah bercakap dengan lelaki dikenali Tuan Ammar dan Datuk Samsul Anwar dan diberitahu bahawa kad mesin juruwang automatik (ATM) CIMB Bank atas nama mangsa telah dijumpai hasil serbuan ke atas penjenayah dikenali Ong Kai Chin.

“Datuk Samsul Anwar juga memberitahu terdapat satu waran tangkap atas nama mangsa selain dituduh menjual kad ATM itu dengan nilai RM20,000 dan menerima komisyen sebanyak RM28,000,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, mangsa kemudiannya dihubungi lagi oleh Datuk Samsul Anwar yang bertanyakan jumlah akaun bank milik mangsa sebelum meminta wanita itu memindahkan wang Tabung Haji berjumlah RM49,000 dan RM27,300 wang Amanah Saham Bumiputera (ASB) ke Bank Islamnya bagi tujuan siasatan polis.

Katanya, mangsa juga telah diminta oleh suspek untuk membuat pinjaman peribadi di Bank Islam dan mangsa yang tidak sedar sedang ditipu kemudiannya membuat pinjaman berjumlah RM150,000.

“Suspek juga telah meminta mangsa memasukkan wang berjumlah RM10,000 ke dalam akaun Maybank untuk bayaran guaman bagi perbicaraan yang akan dijalankan pada bulan depan.

“Mangsa hanya menyedari dia ditipu selepas pergi ke Bank Islam semalam, untuk membuat semakan wang di dalam akaun dan terkejut apabila mendapati kesemua wang berjumlah RM236,300 miliknya lesap,” katanya.

Tambah beliau, semakan mendapati, terdapat beberapa transaksi pindahan wang dilakukan ke dalam akaun bank pihak lain yang bukan dilakukan mangsa.

“Mangsa kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim semalam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya