KANGAR: Penggunaan senjata replika atau mainan sewaktu Minggu Solidariti Palestin tidak akan mengundang sebarang permasalahan buat anak-anak di peringkat sekolah.
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, bagaimanapun, guru-guru perlu memberi penerangan jelas kepada murid-murid agar mereka tidak terpengaruh dengan sebarang unsur-unsur keganasan.
Beliau berkata, inisiatif penganjuran Minggu Solidariti Palestin itu juga merupakan usaha yang baik bagi melahirkan sifat kemanusiaan dalam kalangan anak-anak di peringkat sekolah.
“Ini adalah bagi membolehkan anak-anak ini sedar bahawa peperangan itu satu perkara yang tidak baik untuk kehidupan dan insaf dengan apa yang berlaku di Palestin.
“Selain itu, ia juga dapat menyedarkan masyarakat agar lebih menghayati dan menghargai kemerdekaan di negara ini sepenuhnya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutupan Program Kangar Street Art@Fiesta Seni@Retro Fest 2023 di sini hari ini.
Mohd. Shukri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai larangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar tiada sebarang penggunaan replika senjata, ikon dan simbol yang mengandungi elemen provokasi serta konfrontasi sepanjang Minggu Solidariti Palestin.
KPM dalam kenyataan sebelum ini menegaskan, pihaknya tidak berkompromi dengan sebarang aktiviti berbentuk ekstremisme.
Berikutan itu, KPM meminta semua institusi pendidikan di bawah kementerian itu untuk sentiasa mengikuti panduan penganjuran yang ditetapkan.
Terdahulu, tular rakaman video di media sosial mengenai program di sekolah yang memaparkan unsur ekstremisme bagi menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin.
Namun, KPM mengesahkan video tersebut dianjurkan di luar tempoh waktu pelaksanaan Minggu Solidariti Palestin dan tidak mengikuti panduan yang ditetapkan pihak kementerian.-UTUSAN