Guna medium internet, media sosial untuk kebaikan - Raja Muda Perlis - Utusan Malaysia

Guna medium internet, media sosial untuk kebaikan – Raja Muda Perlis

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil beramah mesra bersama penduduk pada Program Ziarah Mahabbah MAIPs ke Wilayah Trang di Pulau Koh Libung hari ini.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TRANG, THAILAND: Pengaruh medium internet dan platform media sosial lain pada hari ini mempunyai kuasa dan impak positif mahupun negatif dengan masyarakat perlu menilainya.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, tujuan penggunaannya amat bergantung kepada matlamat pengguna sama ada untuk membina sesuatu yang membawa ke arah kebaikan atau kerosakkan.

Titah baginda, ada juga dalam kalangan pengguna menjadikan platform berkenaan sebagai medium pembiakan dan penularan dalam menyebar ideologi ekstremis yang mengancam nilai dan prinsip budaya.

“Jaringan platform media sosial kini melangkaui batas sempadan tanpa mengira sosio budaya, agama, dan bangsa. Seharusnya ia dimanfaatkan bertujuan mempromosi naratif balas positif yang meraikan kepelbagaian budaya, toleransi, dan perpaduan sesama kita,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berangkat menyantuni masyarakat di Pulau Koh Libung sempena Program Ziarah Mahabbah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Negeri Perlis (MAIPs) ke wilayah itu di sini hari ini.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda baginda berdua, Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Turut hadir, Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin; Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor; pengasas merangkap Pengerusi Ain Medicare, Datuk Wan Ariff Wan Hamzah dan bekas Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Amir Md. Noor.

Pada kunjungan ke Koh Libung, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan mengurniakan sumbangan penyelenggaraan dan aktiviti dakwah masjid daripada MAIPs kepada lima buah masjid yang diwakili oleh iman-imamnya dan juga sumbangan kepada 50 anak yatim.

Dalam pada itu, imam Masjid Koh Libung, Nisit Chairit berharap kunjungan MAIPs ke kepulauan tersebut mampu mengeratkan lagi jalinan persaudaraan antara masyarakat Trang dengan Perlis.

“Apa yang terjadi pada hari ini membawa kepada jalinan ikatan yang cukup harmoni di antara kedua-dua pihak.

“Saya percaya, masyarakat di sini amat mengalu-alukan kedatangan delegasi daripada Perlis untuk turut sama-sama menikmati hubungan persaudaraan sesama Islam yang cukup indah ini,” katanya mewakili 3, 000 penduduk yang terdiri daripada masyarakat Islam di Pulau Koh Libung.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya